Pegawai Imigresen Mengaku Tidak Salah Minta Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 30 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas dua pertuduhan meminta rasuah yang didakwa dilakukan awal tahun lalu.

Pengakuan Abdul Rahim Yusoff, 39, direkodkan di hadapan Hakim S.M Komathy Suppiah.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan RM200 daripada Chuah Choon Mui yang didakwa sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes lelaki itu yang didakwa melindungi seorang wanita dari China.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 4.45 dan 6 petang, 12 Februari 2009 di Ibu Pejabat jabatan tersebut di Putrajaya, dekat sini.

Dia juga didakwa atas pertuduhan meminta suapan RM2,000 daripada Chua pada pukul 5 petang, 22 Februari 2009 di tempat yang sama, iaitu pada hari yang sama dia ditangkap.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hung Heng Hong mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Hung menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan yang dibantah oleh peguam Ahmad Bakhtiar Hamdan.

Komathy membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dan menetapkan 6 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan