Kes Dr Ling Liong Sik Dipindahkan Ke Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Selasa, 30 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kes penipuan RM1.08 bilion berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut Seksyen 418A Kod Prosedur Jenayah (CPC).

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara telah memberikan pertimbangan mengenai permohonan Dr Ling pada 30 Ogos dan bersetuju dengan pemindahan itu.

"Atas permohonan pendakwa raya, saya perintah kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," kata Suzana.

Suzana juga mengekalkan ikat jamin RM1 juta dan seorang penjamin di mana beliau telah membenarkan kepada Dr Ling ketika beliau didakwa pertama kali di mahkamah pada 29 Julai. Katanya jumlah itu tertakluk kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat perintah selanjutnya.

Hakim itu juga berkata bahawa tarikh sebutan kes ini akan datang, akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Ling ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata bahawa beliau datang ke sini untuk mempertahankan dirinya dan mahukan satu perbicaraan yang cepat.

Bekas presiden MCA berusia 67 tahun itu menghadapi pertuduhan penipuan terhadap kerajaan Malaysia dengan mengelirukan kabinet mengenai pengambilan tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Menurut pertuduhan utama, beliau didakwa menipu kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Terma-terma dalam perjanjian termasuk:

(a) saiz tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi;

(b) harga pembelian tanah RM25 satu kaki persegi yang berjumlah keseluruhan RM1,088,456,000;

(c) tempoh pembayaran balik berdasarkan "pembayaran tertangguh" 15 tahun dengan kadar faedah 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600).

Dr Ling dituduh menipu kabinet dengan memberikan kebenaran untuk membeli tanah itu mengikut terma-terma dengan secara tidak jujur menyembunyikan fakta bahawa penilaian oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah, Kementerian Kewangan bagi tanah itu adalah RM25 kaki persegi untuk tempoh pembayaran balik selama 15 tahun, termasuk kupon dan faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh pembayaran tersebut.

Dengan itu, beliau mendorong kabinet untuk memberikan kebenaran dengan pembelian tersebut, sedangkan kabinet tidak akan memberikan kebenaran jika fakta-fakta telah dimaklumkan kepada jemaah menteri.

Menurut pertuduhan itu, penipuan dilakukan dengan diketahui beliau (Dr Ling) yang boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan Malaysia, di mana beliau ada kepentingan dalam urusan berkaitan penipuan itu dan beliau terikat dengan undang-undang untuk melindunginya.

Dr Ling didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 Sept dan 6 Nov, 2002 di Level 4, Pejabat Perdana Menteri di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Jika sabit kesalahan, Dr Ling boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Dr Ling juga menghadapi satu pertuduhan pilihan menipu kerajaan dengan mengelirukan kabinet mengenai pengambilan tanah untuk projek yang sama di tempat dan masa yang sama.

Mengikut pertuduhan pilihan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dr Ling diiringi oleh isteri beliau Toh Puan Ena Ling dan dua orang anak lelaki, Hee Liong dan Hee Keat.

Dalam prosiding mahkamah sebelum itu, peguam Dr Ling, Wong Kian Kheong meminta hakim Mahkamah Tinggi untuk mengekalkan ikat jamin RM1 juta sehingga perbicaraan kes itu tamat.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Dzulkifli Ahmad memberitahu hakim itu bahawa beliau hanya diberikan kuasa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan beliau tidak boleh memaksa Mahkamah Tinggi berkenaan mengenepikan atau mengekalkan ikat jamin RM1 juta yang diperintah oleh beliau.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan