Dua Wanita Dipenjara 10 Tahun Kerana Perdagang Dua Gadis Bawah Umur

Diterbitkan: Rabu, 24 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas dua wanita kerana memperdagangkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dalam perkhidmatan seks, pada pertengahan tahun ini.

Roslina Md Snor, 23, dari Kampung Jambatan Duyung, Melaka Tengah dan Siti Normaslinda Mohamad Masrol, 22, dari Kampung Tehel, Bemban, Jasin di sini didakwa melakukan perbuatan itu dengan maksud mengeksploitasi kedua-dua mangsa.

Mengikut kertas kedua-dua pertuduhan, mereka telah memperdagangkan mangsa di Hotel Everyday, Jalan Tun Ali di sini, antara pertengahan bulan Mei dan 1 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum tiga tahun, maksimum 20 tahun, dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Roslina ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun, dan dia menyara hidupnya dengan menjual kuih manakala Siti Normaslinda membantunya membuat kuih.

Hakim Zaharah Hussain yang mendengar kes itu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap kesalahan dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan.

"Apa perasaan kamu apabila orang lain buat perkara yang sama kepada adik-beradik dan saudara kamu sendiri. Saya nasihatkan supaya kamu bertaubat dan jangan ulang kesalahan yang sama selepas ini," kata Zaharah ketika menjatuhkan hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodiah Abdul Latiff, Roslina dan Normaslinda berkenalan dengan mangsa dan telah membawa kedua-duanya tinggal bersama mereka.

Mangsa kemudian dimaklumkan mengenai perkhidmatan seks yang diuruskan oleh tertuduh di sebuah bilik di hotel itu.

Kedua-dua tertuduh telah memberikan sejumlah wang kepada mangsa bagi perkhidmatan seks dengan beberapa pelanggan selepas pelanggan berkenaan membuat bayaran kepada mereka.

Mereka ditahan polis pada 5 Julai selepas mangsa kedua menceritakan "apa yang berlaku" kepada keluarganya dua hari sebelum itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan