Kes Aminulrasyid: Trajektori Dibuat 9 Hari Lewat

Diterbitkan: Selasa, 23 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ujian trajektori, iaitu ujian untuk menentukan arah tembakan pada kereta yang dipandu oleh pelajar Tingkatan Tiga, AminulRasyid Amzah pada malam dia meninggal dunia akibat ditembak hanya dibuat sembilan hari selepas kejadian itu berlaku.

Pegawai Penyiasat Forensik, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob selaku saksi pendakwaan ke-25 berkata, ujian itu dilakukan pada 3 Mei lalu dan beliau turut mengakui perbezaan masa itu akan menyebabkan keputusan yang diperolehi tidak begitu tepat.

“Perbezaan akan berlaku pada sudut tembakan kerana pada malam kejadian (26 April) kereta tersebut mungkin berada dalam keadaan condong manakala pada 3 Mei, kereta itu mungkin berada dalam keadaan mendatar,” katanya.

Bagaimanapun, Mazli yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor berpendapat, ujian tersebut bukanlah satu keperluan untuknya memandangkan bidang trajektori adalah di luar kemahiran beliau.

“Saya membuat ujian trajektori atas arahan pegawai penyiasat untuk membantu siasatan yang dijalankan dan memberi gambaran kejadian yang berlaku,” katanya semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Mazli, 32, juga memberitahu, beliau hanya mengutip satu kelongsong peluru yang dijumpai di kawasan berumput berhampiran kereta terbabas pada malam kejadian manakala dua selepas itu, saksi mengutip dua anak peluru dan 16 kelongsong.

“Saya mengakui itu adalah kecuaian saya,” katanya berhubung kelewatan tersebut dan mengakui terdapat kebarangkalian bahawa kecuaian itu boleh menjejaskan kes kerana bahan bukti tersebut telah diganggu-usik.

Selain itu, Mazli juga mengakui kesilapannya untuk tidak mengarahkan jurufoto forensik merakamkan gambar mayat mangsa dalam keadaan pertama ia ditemui.

Pada keterangannya terdahulu, saksi memberitahu AminulRasyid berada dalam keadaan muka tersebam di bahagian tempat duduk manakala badannya di luar kereta.

Saksi menambah, beliau telah mengalihkan mayat ke kawasan berumput kerana tidak mahu mayat berada dalam keadaan ‘yang menyedihkan’ sehingga siasatan tamat.

Dalam keterangan lain, Mazli juga bersetuju dengan pendapat Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Shaari Desa, 43, bahawa tembakan yang dilepaskan ke arah kereta Proton Iswara BET 5023 itu mungkin bertujuan untuk menghentikan kereta itu.

Ini berdasarkan kesan tembakan yang berada di bahagian bawah kereta,kecuali satu tembakan yang menembusi bahagian cermin belakang dan mengenai kepala AminulRasyid, 15, lantas menyebabkan kematiannya.

Perbicaraan pada Selasa, menyaksikan mahkamah melawat semula lokasi kejadian dan laluan-laluan yang dilalui oleh AminulRasyid bersama rakannya, Mohd Azamuddin Omar, 15, pada malam kejadian tembakan bagi mendapatkan gamabaran terperinci lokasi.

Rombongan mahkamah yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Latifah Mohd Tahar, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, barisan pembelaan, tertuduh, Koperal Jenain Subi dan saksi-saksi termasuk Mazli dan Mohd Azamuddin menaiki sebuah bas Polis Diraja Malaysia yang diiringi oleh sebuah kereta peronda.

Lokasi pertama yang dilawati ialah kawasan di hadapan Restoran Ali’s Corner di mana Azamuddin memberitahu kereta yang dinaiki mereka telah berlanggar dengan sebuah motosikal di Jalan Platinum G7/G, Seksyen 7.

Daripada Seksyen 7, perjalanan diteruskan ke Persiaran Kayangan, Bulatan Kayangan dan Persiaran Dato Menteri, Seksyen 11, di sini. Bas tersebut juga berhenti di hadapan Kompleks PKNS yang mana menurut Azamuddin tempat mereka mula dikejar oleh kereta peronda polis.

Lokasi terakhir ialah di Jalan Tarian, Seksyen 11 iaitu tempat kereta terbabit terbabas dan melanggar tembok dinding sebuah rumah. Mengimbas kejadian yang berlaku, Azamuddin berkata, dia meloloskan diri menerusi tingkap cermin kereta yang retak dan terus melarikan diri ke jalan berhampiran.

Dalam kes ini Jenain, 48, dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain Idham, pendakwaan turut dikendalikan oleh Mohd Dusuki Mokhtar, Adillah Ahmad dan Siti Rohaida Che Hamid manakala Jenain diwakili oleh peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Asghar.

Perbicaraan akan bersambung pada 29 November ini.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan