Skandal PKFZ: Tertuduh Mohon Singkir Peguam Pemerhati

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Law Jenn Dong, yang terlibat dalam skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada Isnin memohon untuk menyingkirkan firma guaman yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) daripada mendengar kes itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di Shah Alam hari ini, Asmadi Hussain menetapkan 1 Dis untuk mendengar permohonan yang dikemukakan oleh Law melalui peguamnya Tan Hock Chuan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes Law, 52, dan dua lagi tertuduh iaitu arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi KDSB Stephen Abok, 52.

Peguam V. Sithambaram mewakili Bernard Tan, sementara Stephen diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Dalam prosiding hari ini, Hock Chuan memohon untuk menyingkirkan Tetuan Skrine & Co yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak LPK atas alasan firma guaman itu berkemungkinan mempunyai maklumat sulit membabitkan kes itu, yang dibimbangi akan menimbulkan prejudis terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau berkata firma guaman itu telah memfailkan afidavit bersumpah oleh Pengerusi LPK Datuk Lee Hwa Beng berhubung permohonan pihaknya hari ini dan sehubungan itu pihaknya memerlukan masa untuk membalas afidavit berkenaan.

Hock Chuan juga memaklumkan bahawa pihaknya baru menerima dokumen tambahan berkaitan kes itu daripada pihak pendakwaan pada Jumaat lepas.

"Sehingga kini kami telah menerima kira-kira 750 salinan dokumen dan kami memerlukan masa untuk mendapatkan arahan seterusnya daripada anak guam kami," katanya.

Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad yang mengetuai pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

Pada masa sama, beliau berkata pihak pendakwaan mempunyai persoalan mengapa Lee memfailkan afidavit bersumpah sedangkan isu itu berkenaan Tetuan Skrine & Co.

Peguam Lim Chee Wee daripada firma guaman itu kemudian menjelaskan bahawa hubungan antara LPK dan pihaknya merupakan hubungan antara peguam dan anak guam.

"Lee mempunyai hak sebagai pengerusi LPK untuk melantik Tetuan Skrine & Co sebagai peguam cara. Sekiranya semua pihak memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan kami tiada bantahan.

"Ini merupakan pertama kali bantahan seperti ini dibuat. Kami ingin menyatakan bahawa LPK dan Bernard Tan terlibat dalam kes sivil lain tetapi isu ini tidak dibangkitkan dalam kes sivil itu," katanya.

Law, Bernard Tan dan Stephen mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.

Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees iaitu dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Law, Stephen dan Bernard Tan juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta.

Selain itu, Stephen dan Bernard Tan juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees dengan memperdaya OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan ini telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta kepada KDSB. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan