Air Mani Boleh Berada Dalam Rektum Selama 72 Jam, Kata Pakar Bedah

Diterbitkan: Isnin, 22 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bedah am memberitahu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dalam kes liwat, air mani boleh melekat dalam bahagian rektum selama 72 jam.

Dr Mohd Razali Ibrahim, bekas pakar bedah am di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata beliau tidak dapat memberitahu tempoh tepat berapa lama air mani boleh berada dalam rektum, tetapi berdasarkan pembacaannya, ia adalah 72 jam.

Ketika diperiksa semula oleh Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengenai tempoh air mani boleh berada dalam rektum, beliau berkata ia bergantung pada fungsi dubur dan pada hakikatnya dubur bukan satu organ yang lurus di mana air mani boleh kekal di bahagian itu.

Dr Mohd Razali, yang kini berkhidmat dengan Hospital Putrajaya, adalah saksi kedua pada perbicaraan Anwar, yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.

Kemudian ketika disoal balas oleh paguam Anwar S.N.Nair, mengenai pandangannya berkaitan tempoh 72 jam, Dr Mohd Razali berkata ia berdasarkan pada pembacaannya.

Tetapi apabila beliau ditanya mengenai tajuk buku itu, katanya beliau tidak ingat.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam utama Anwar, Karpal Singh mengenai perut Mohd Saiful Buhari, Dr Mohd Razali berkata tidak ada najis dalam rektum Mohd Saiful Bukhari ketika diperiksa.

Karpal memberitahu Dr Mohd Razali bahawa Mohd Saiful Bukhari telah memberikan keterangan dalam mahkamah bahawa beliau tidak boleh buang air besar selama dua hari.

Dr Mohd Razali sekali lagi tetap dengan keterangannya bahawa rektum perut adalah kosong.

Saksi ketiga pendakwaan, Pakar Patologi Forensik HKL Dr Siew Sheue Feng, ketika disoal balas oleh Karpal, berkata beliau mencatat perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari sebelum beliau diperiksa oleh Dr Mohd Razali.

Bagaimanapun, apabila Karpal bertanyakan kepada beliau sama ada beliau (Dr Siew) bersedia untuk mengeluarkan perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari, pakar berkenaan berkata beliau bersedia memberitahu perihal perubatan bekas pembantu peribadi Anwar itu sedaya yang beliau boleh ingat dan menjawab soalan lisan di mahkamah.

Dr Siew berkata beliau mencatat perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari berdasarkan aduannya bahawa dia diliwat oleh seorang yang berprofil tinggi selama dua bulan dan laporan perubatan berasaskan kes liwat.

Mengenai soalan Nair, Dr Siew berkata gambar-gambar diambil semasa memeriksa Mohd Saiful Bukhari dengan kehadiran polis dan polis menyimpan gambar berkenaan.

Ditanya lagi oleh Nair bahawa beliau menyediakan laporan perubatan itu tanpa merujuk gambar-gambar itu, Dr Siew berkata "ya", tetapi menambah bahawa beliau melihat gambar-gambar tersebut sebelum ia disimpan oleh polis.

Dr Siew juga menjelaskan bagaimana sampel itu diambil dan dilabel setelah beliau diminta berbuat demikian oleh Nair.

Ditanya lagi oleh Nair mengenai Piawaian Protokol untuk memeriksa pesakit dalam kes-kes liwat, Dr Siew berkata di HKL, seorang pakar bedah, seorang pakar kemalangan dan kecemasan dan seorang pakar forensik hendaklah hadir semasa pemeriksaan itu.

Ketika ditanya satu protokol bertulis rasmi, Dr Siew berkata beliau tidak menyedari mengenainya.

Tetapi, apabila Nair menunjukkan kepada beliau satu protokol bertulis dari Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Dr Siew berkata beliau tahu mengenainya dan akan membawanya ke mahkamah esok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan