Perhimpunan Haram: 3 Pemimpin Pembangkang Bebas

Diterbitkan: Jumaat, 19 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Mohamad Sabu, Chuan Tian Chang @ Tian Chua dan N.Gobalakrishnan serta 14 individu lain dibebaskan daripada tuduhan terlibat dalam perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan tiga tahun lalu.

Mereka yang turut dibebaskan ialah Mohd Zad Abdullah, 42; Mohd Salim Yeslam, 25; Ahmad Razali Abdul Rahman, 53; Razali Abdul, 37; Mohd Asri Ahmad, 37; Mohd Harith Fathillah, 27; Saleh Mohd Tahir dan Azahar Yusop, Taib Abdullah, 37; Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin, 28, dan Ishak Othman, 37.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Jagjit Singh membuat keputusan itu pada Jumaat, tanpa memanggil semua mereka membela diri atas pertuduhan tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menilai keterangan yang diberikan oleh 36 saksi pendakwaan dan juga hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Pada penghakimannya, Jagjit berkata, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada video rakaman dalam penahanan Mohamad Sabu dan Tian Chua yang dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah.

“Daripada rakaman itu, jelas bahawa pihak polis telah memberikan masa kepada pemimpin ini untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara. Dengan kata lain, kebenaran telah diberikan, oleh itu tidak timbul soal perhimpunan haram,” katanya dan menambah perhimpunan itu telah bersurai secara aman selepas itu.

Selain itu, Jagjit juga berkata, Mohamad Sabu dan Tian Chua juga tidak ditangkap dengan serta-merta di tempat kejadian, sebaliknya Mohamad Sabu ditahan di Tol Juru, di utara tanahair manakala Tian Chua yang juga Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat di Johor.

Berdasarkan alasan penghakiman, Jagjit berkata pihak pendakwaan juga bergantung kepada video bagi penglibatan Gobalakrishnan dan apabila diperhatikan tiada kepastian sama ada beliau turut terlibat, selain tidak mengenakan t-shirt kuning yang tertera BERSIH atau merah (UNIT AMAL).

Mengenai penglibatan lima individu di Masjid Negara, Jagjit berkata pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan pertuduhan perhimpunan haram kerana masjid merupakan tempat ibadat dan mereka berhak untuk berada di kawasan masjid dan tidak boleh dihalau keluar melainkan jika ada melakukan kesalahan jenayah atau gangguan.

“Tidak ada keterangan yang menunjukkan mereka melakukan gangguan tatasusila di masjid. T-shirt kuning dan merah tidak cukup untuk menghalang mereka daripada berada di masjid.

“Tindakan menangkap di masjid adalah melanggar Perkara 11 Perlembangaan Persekutuan, iaitu kebebasan beragama dan mereka tidak boleh dihalang daripada menunggu solat Zohor atau Asar di masjid dan menjalankan acara keagamaan,” katanya.

Selain itu, beliau juga berpendapat, tiada pemerhatian jelas oleh anggota tangkapan tehadap mereka yang ditahan di persekitaran Jalan Raja Laut, di sini dan sama ada mereka baru tiba, telah lama terlibat atau hanya hadir sebagai pemerhati.

“Saya tidak dapat menerima keterangan anggota tangkapan kerana mereka seperti stereotype daripada jawapan soalan memimpin oleh Timbalan Pendakwa Raya. Oleh itu, kredibiliti pegawai tangkapan adalah diragui,” katanya.

Justeru itu, Jagjit memerintahkan semua mereka dibebaskan dan wang jaminan dipulangkan semula melainkan jaminan Gobalakrishnan, atas alasan penjaminnya telah diberi surat tunjuk sebab mengapa jaminan tidak boleh dilucutkan oleh mahkamah.

Sebaik sahaja mahkamah bersurai pada pukul 5.50 petang, semua mereka melaungkan takbir dan bertepuk tangan serta saling berpelukan sambil mengucapkan tahniah.

Mohamad Sabu yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat semasa ditemui berkata, beliau berharap semua hakim akan dapat membuat keputusan yang berani sebegitu tanpa rasa takut atau berpihak kepada mana-mana pihak, terutamanya dalam kes perhimpunan haram.

Sebelum ini, semua mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan haram Bersih yang diadakan bagi menuntut pilihan raya yang telus dan adil.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di perkarangan Masjid Negara, Jalan Istana Baru, Jalan Raja Laut dan bersebelahan Pusat Membeli-Belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman antara pukul 1 dan 4 petang, 10 November lalu.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan mengingkari perintah bersurai yang diarahkan oleh polis pada masa dan di tempat yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan Mohd Farizul Hassan Bakri manakala barisan pembelaan dibarisi peguam Mohamad Hanipah Maidin, Nasar Khan dan Jason Tay.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan