Mekanik Zimbabwe Terlepas Hukuman Gantung

Diterbitkan: Jumaat, 19 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang mekanik yang berasal dari Zimbabwe terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menerima pembelaan yang dikemukakannya.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memerintahkan Stancelaus Tongai Chifamba, 30, menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas mendapati dia bersalah membawa masuk kokain seberat 1298.8 gram ke negara ini bagi tujuan transit ke Bangkok, Thailand.

Beliau turut memerintahkan supaya hukuman itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap, iaitu pada pukul 2.20 petang, 25 Mei 2003 di tempat mengambil bagasi, Aras 3, Bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini.

Pada penghakimannya, Mohd Zaki berkata, pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh selepas dipanggil untuk membela diri bagi pertuduhan mengedar, adalah konsisten dengan apa yang dinyatakan di dalam percakapan beramarannya kepada polis selepas ditangkap.

Tertuduh semasa itu menyatakan, dia diarahkan untuk membawa dadah tersebut oleh seorang lelaki yang menjanjikan wang mencukupi untuk tertuduh pulang ke negara asal.

Tertuduh yang mendakwa telah menelan 75 kapsul berisi dadah, ditahan di KLIA selepas didapati terdapat bahan asing di dalam badannya.

Dia kemudiannya ditahan di Hospital Banting dan selepas beberapa hari, lebih daripada 100 kapsul dadah diperoleh daripada badan tertuduh.

Di hospital sama, tertuduh berjumpa dengan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Enigma yang turut menelan kapsul-kapsul dadah di tempat yang sama dia menelan dadah tersebut.

Oleh itu, Mohd Zaki berkata, beliau tidak dapat menolak kewujudan Enigma memandangkan pihak pembelaan telah memanggil saksi daripada hospital yang mengesahkan kehadiran lelaki itu.

“Saya tidak begitu yakin bahawa tidak berlaku percampuran antara dadah yang dikeluarkan oleh tertuduh dan Enigma,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, tiket penerbangan di atas nama tertuduh juga menunjukkan bahawa dia akan ke Bangkok pada hari yang sama dia tiba di Kuala Lumpur.

Mohd Zaki membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Gooi Soon Seng dan V. Arunvindakshan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan