Mahkamah Diminta Isytihar Pemilihan Timbalan Presiden PKR Tidak Sah

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) P. Jenapala pada Khamis, memfailkan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa pemilihan yang diadakan bagi jawatan timbalan presiden parti itu tidak sah.

Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang PKR daripada mengisytiharkan mana-mana calon yang dipilih bagi jawatan itu.

Jenapala dalam samannya yang difailkan peguam Firoz Hussein dari Tetuan Hafarizam Wan& Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Jalan Duta di sini, turut menyatakan bahawa beliau masih layak untuk bertanding jawatan itu pada 29 November ini walaupun dikatakan telah dipecat daripada parti pada 2008.

Beliau selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap tiga defendan iaitu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam saman itu, Jenapala, 56, berkata pemilihan itu bertentangan dengan haknya sebagai anggota PKR seumur hidup, dan beliau masih boleh bertanding bagi jawatan itu. Jenapala, yang menjadi Timbalan Setiausaha Agung PKR sejak awal 2008 sehingga peletakan jawatannya secara lisan pada Disember tahu yang sama, telah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada 17 Sept lepas.

Dalam samannya, beliau berkata kenyataan Saifuddin pada 20 Sept lepas bahawa beliau telah dibuang daripada PKR adalah tidak berasas kerana keahliannya telah disahkan di ibu pejabat parti itu pada 17 Sept.

Jenapala mendakwa tidak pernah dimaklumkan oleh parti itu berhubung pengguguran keahliannya mahupun apa jua tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.

Beliau menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun terhadap ganti rugi selain kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan