Kes Anwar: Mahkamah Persekutuan Putuskan Isu Awal 24 Nov Ini...

Diterbitkan: Khamis, 18 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan Rabu ini isu awal yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penghakiman yang ditulis dalam bahasa Inggeris dalam kes saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak sah.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, dalam permohonan kebenaran untuk merayu berhubung kes saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi peguam Anwar iaitu Sankara Nair, memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau dimaklumkan mengenai tarikh tersebut oleh timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Kainur Aleeza Ismail, pagi tadi.

Pada 27 September lepas, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar, menangguhkan keputusan mereka berhubung perkara itu, selepas selesai mendengar hujah pihak yang berkenaan.

Pada prosiding itu, Karpal berhujah bahawa dalam kes Anwar, Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengarahkan Mahkamah Rayuan supaya menulis penghakiman sewajarnya dalam bahasa kebangsaan, mengikut peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan tersebut, penghakiman Mahkamah Rayuan yang ditulis dalam bahasa Inggeris adalah tidak mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

Pada 10 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman fitnahnya terhadap Dr Mahathir atas sebab teknikal.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memorandum yang difailkan Anwar dalam Bahasa Inggeris adalah cacat dan tidak sah, kerana dokumen mahkamah perlu difailkan dalam Bahasa Malaysia.

Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir pada Januari 2006, yang didakwa mengeluarkan satu kenyataan berunsur fitnah terhadapnya di Persidangan Hak Asasi Manusia pada 9 September 2005.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan