Pemandu Mengaku Tidak Bersalah Terima Wang

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Rabu, atas tuduhan menerima wang tunai RM10,000 sebagai untuk diberikan kepada seorang pegawai polis sebagai dorongan bagi melepaskan sebuah kereta yang disita.

Ngoh Chee Kiat, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin.

Tertuduh didakwa menerima wang tersebut daripada Teoh Chee Keong untuk diberikan kepada Inspektor Cheah Yen Kee sebagai dorongan untuk dilepaskan kereta Proton Wira miliknya yang disita di Ibu Pejabat Polis Jaya Selatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu masuk Maxis Centre, nombor 69, Jalan Manis 4, Taman Segar, Cheras, di sini pada pukul 4.30 petang, 9 Oktober 2004.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azizun Mohamad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Beliau juga memohon supaya kes tersebut dapat dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini memandangkan tertuduh menghadapi dua lagi pertuduhan yang melibatkan saksi dan kejadian yang sama.

Rosbiahanin membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 30 November ini sebagai sebutan semula kes di Shah Alam manakala jaminan ditetapkan pada jumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pada 26 Oktober lalu, Ngoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan meminta wang tunai RM25,000 dan menerima RM5,000 daripada Teoh.

Bagi kesalahan itu, dia kini dibebaskan dengan jaminan RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan