Nelayan Myammar Miliki Dadah Dipenjara 14 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang nelayan warga Myammar yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah diarahkan menjalani hukuman penjara selama 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Khamis, selepas mengaku bersalah memiliki dadah.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ba Phya, 53, yang mengaku atas pertuduhan pilihan memiliki 22.9 gram campuran heroin dan monoacetylmorphines pada pukul 5.30 pagi, 15 November 2009.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewanya bernombor 5, Jalan 4, Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam, dekat sini.

Pada penghakimannya, Siti Khadijah berkata, hukuman penjara yang lama dikenakan memandangkan tertuduh tidak boleh dihukum sebat seperti yang diperuntukkan undang-undang bagi kesalahan dadah disebabkan oleh faktor umur.

Pengakuan salah Ba Phya menyebabkan pertuduhan sama terhadap empat lagi rakan senegara, Aye Kyaw, Aung, Maung Soe Thien dan San Shewe Maung ditarik semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin.

Fakta menyatakan, polis yang membuat serbuan ke rumah itu terpaksa memecahkan pintu ekoran tindakan penghuni yang bukan sahaja enggan membuka pintu, malah menutup lampu di dalam rumah.

Apabila pintu rumah dibuka, semua mereka yang masuk ke dalam negara ini secara haram sedang cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dapat ditangkap.

Dadah itu ditemui di dalam beg plastik di dalam sebuah bilik yang terdapat di rumah tersebut.

Tertuduh dalam rayuan yang dikemukakan menerusi peguam K.A Ramu menyatakan, dia datang ke negara ini untuk mencari nafkah bagi menampung isteri dan tiga anak perempuan berusia antara 26 dan 19 tahun.

"Tertuduh bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan. Kehidupannya amat sukar di mana dua minggu dia berada di laut dan kembali ke daratan untuk seminggu," katanya.

Bagaimanapun, Zainal Azwar membalas dengan mengatakan mahkamah tidak seharusnya bersimpati dengan faktor peribadi tertuduh.

"Sebagai seorang bapa yang matang dan tua, dia sepatutnya tahu kesan kesalahan bukan hanya ke atas dirinya, tetapi turut melibatkan keluarga.

"Seharusnya mahkamah bersimpati kepada masyarakat kerana dadah akan menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan sosial seterusnya membawa kepada peningkatan kesalahan jenayah," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan