Anggota polis Bebas Daripada Tiga Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Khamis, 11 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Inspektor Percubaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tiga pertuduhan bersetuju menerima dan menerima rasuah berjumlah RM3,000, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh memutuskan sedemikian di akhir kes pendakwaan selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Hardy anak Charles, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

Hardy didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada ahli perniagaan A.T Salapathirao sebagai ganjaran untuk melepaskan anaknya S.Munisvaran dan S.Thiban yang ditahan kerana mencuri baja.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Klang, kira-kira 11 malam pada 12 Dis 2008.

Hardy juga didakwa bersetuju menerima suapan berjumlah RM1,000 daripada Salapathirao sebagai ganjaran untuk melepaskan Thiban, kira-kira 11.10 malam, di tempat dan hari yang sama.

Selain itu, Azhaniz turut membebaskan Hardy daripada tuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada Salapathirao sebagai balasan untuk melepaskan Munisvaran, kira-kira 7.55 malam pada 6 Jan tahun lepas di tempat yang sama.

Seramai 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azuan Adzhar manakala Hardy diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan