Kes AminulRasyid: 31 Kesan Lubang Peluru Pada Kereta

Diterbitkan: Selasa, 9 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kereta yang dpercayai dipandu oleh pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah pada malam dia didakwa ditembak mati oleh anggota polis didapati terdapat 31 kesan lubang peluru dan satu kesan lekukan peluru.

Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Shaari Desa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, 30 kesan lubang tersebut merupakan kesan peluru masuk manakala satu kesan lagi ialah kesan peluru keluar.

Daripada jumlah itu, satu kesan peluru masuk merupakan tembakan dari arah belakang dengan anggaran sudut tembakan 13 darjah dari kiri pada cermin belakang dan menembusi tempat letak kepala kerusi pemandu.

Lapan kesan lubang peluru masuk pula ditemui pada bahagian belakang kereta, sisi kanan belakang (4), sisi kiri belakang (2), ekzos kereta (2), bahagian tangki minyak (3), kedudukan lain di bawah (6), permukaan crown tayar, roda belakang kanan (2) dan crown tayar roda belakang kiri (2).

Kesan peluru keluar pula diperolehi berada di bahagian dasar rim sementara lekukan peluru berada pada bilah rim roda kereta jenis Proton Iswara yang bernombor pendaftaran BET 5023.

Shaari, 43, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-24 menambah, beliau turut mengutip dua peluru berjaket berkaliber 9 milimeter (mm) yang ditemui pada panel pintu belakang sebelah kanan dan di bawah tayar ganti yang berada di tempat letak barang.

Empat serpihan peluru pula ditemui di bawah tayar ganti dan satu serpihan dijumpai di dalam tayar belakang sebelah kiri.

Bagaimanapun, saksi berkata, pemeriksaannya tidak menjumpai sisa serbuk senjata api (gun powder residues) pada cermin belakang mahupun belakang kereta.

“Sekiranya tiada sisa serbuk, ini bermaksud ia ditembak dalam jarak melebihi tiga meter daripada muncung senjata ke cermin. Tetapi ia juga bergantung kepada faktor cuaca, keadaan jalan yang licin dan lokasi.

“Cuaca sejuk akan mempengaruhi kadar pembentukan sisa dan jika tembakan dilepaskan di bilik atau tanah lapang juga akan mempengaruhi sebaran serbuk senjata,” katanya yang disoal pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Berhubung paras ketinggian penembak, Shaari berpendapat tembakan itu konsisten dilepaskan dalam keadaan normal dan bukannya merangkak atau mencangkung.

Selain itu, saksi juga berpendapat kereta tersebut telah berlanggar dengan pokok, objek hitam seperti pengemudi motosikal dan objek berwarna biru berdasarkan kesan bahan asing yang terdapat pada bahagian depan kereta.

Selain pemeriksaan kereta, saksi juga bertanggungjawab melakukan pemeriksaan terhadap sampel-sampel peluru termasuk satu yang berlabel Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini, iaitu tempat bedah siasat dilakukan.

Bagaimanapun, keadaan peluru tersebut yang rosak menyebabkan ia tidak sesuai untuk dilakukan ujian bagi menentukan sub machine gun yang melepaskan peluru itu. Terdapat dua sub machine gun dikemukakan dalam perbicaraan.

Hanya pemeriksaan pada laras kedua-dua senjata tersebut mendapati terdapat sisa serbuk tembakan yang bermaksud ia telah digunakan untuk melepaskan tembakan dan aktiviti pembersihan masih belum dijalankan.

“Tetapi, masa dan jumlah bilangan tembakan tidak boleh dipastikan berdasarkan sisa serbuk senjata,” tambah saksi.

Dalam kes ini, Sarjan Jenain Subi, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Dia yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Daerah di sini, dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Jenain diwakili peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tohar bersambung Rabu dan kereta tersebut dijangkakan akan dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan