Warga Nigeria Kurung Wanita Fillipina DiPenjara

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Impian seorang wanita Fillipina untuk berkahwin dengan duda daripada Amerika Syarikat, ‘Edmond Max’ yang dikenali menerusi Internet membawa padah selepas duda tersebut rupanya hanyalah dua lelaki Nigeria.

Wanita yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu juga melalui lima hari yang mencemaskan apabila dia dikurung, dipukul dan dibogelkan oleh dua lelaki tersebut semasa datang ke negara ini daripada Narita, Jepun.

Mangsa berusia 45 tahun itu bukan sahaja tidak diberi makan selama empat hari, malah dipukul di muka apabila meminta makanan, selain dicederakan dengan menggunakan pisau yang dipanaskan.

Cubaannya untuk melarikan diri menyebabkan dia ditendang.

Mangsa akhirnya ditinggalkan di jalan PJS 11, Petaling Jaya, dekat sini pada 17 Disember sebelum diselamatkan oleh orang awam. Dia dihantar ke hospital dan ditahan di wad selama lima hari.

Bagasi pakaian jenama Marie Claire, i-phone dan komputer riba jenama Sony yang dibawa mangsa bagaimanapun hilang diambil oleh dua lelaki tersebut.

Selepas hampir setahun kejadian berlaku, salah seorang lelaki itu, Oparaugo Uchenna Samuel, 27, teman wanitanya, Nurrul Atika Baharuddin, 21, dan seorang lelaki tempatan, Khairun Azhan Mohammaed Aziddin, 25, menerima hukuman di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki pada Khamis, memerintahkan supaya Oparaugo dihukum penjara selama tiga tahun bermula daripada tarikh tangkap selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan mengurung mangsa secara sulit dan salah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 5.20 petang, 12 Disember hingga 9.50 pagi, 17 Disember 2009 di rumah nombor E-12-05, Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya, dekat sini.

Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Nurrul Atika dan Khairun Azhan yang mengaku salah atas pertuduhan mendiamkan diri terhadap perbuatan yang dilakukan oleh Oparaugo pula diarahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan, Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh dan tempat yang sama.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan mengikut Seksyen 202 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka yang merupakan penuntut di sebuah kolej swasta dilepaskan hari ini, memandangkan mereka telah berada dalam reman sejak 11 bulan yang lalu.

“Saya bersetuju disebabkan kamu telah menjalani reman yang panjang, hukuman maksimum tidak akan memberikan kesan kerana kamu akan dilepaskan.

"Saya juga boleh menjatuhkan hukuman denda terhadap semua tertuduh, tetapi saya tidak akan berbuat demikian kerana kamu semua mengaku salah,” kata Mohtarudin.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya oleh Kamal Roslan manakala barisan pembelaan dibarisi peguam-peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Salim Bashir dan Abu Dzarr Ab Karim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan