Tiga Termasuk Warga Nigeria Dan Teman Wanita Dipenjara Kurung Rakyat Filipina

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki Nigeria sanggup menyamar sebagai seorang duda bangsa Amerika Syarikat dan memperdayakan seorang wanita Filipina melalui Internet untuk mengahwininya sehingga mendorong mangsa datang ke Malaysia sebelum bertindak melarikan dan mengurung wanita itu secara salah.

Tertuduh, Oparaugo Uchenna Samuel, 27, bagaimanapun hari ini menerima hukumannya apabila dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada Disember tahun lepas.

Di mahkamah yang sama, teman wanita Samuel yang merupakan rakyat tempatan, Nurrul Atika Baharuddin, 21, dan rakannya Khairun Azhan Mohammed Aziddin, 25, pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan setelah mengaku bersalah sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel melarikan dan mengurung mangsa berumur 45 tahun itu walaupun mereka mengetahuinya.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukumannya berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Dis tahun lepas.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mereka di sebuah rumah di alamat No.E-12-05, Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Taman Sri Mentari, Petaling Jaya, antara pukul 5.20 petang, 12 Dis tahun lepas hingga pukul 9.50 pagi, 17 Dis tahun lepas.

Ketika dalam tahanan reman, Nurrul Atika telah melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia empat bulan hasil perhubungannya dengan Samuel.

Mengikut fakta kes, mangsa datang ke Malaysia pada 12 Dis tahun lepas atas dorongan Samuel bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas di mana mereka telah memperdayakannya melalui Internet dengan Samuel menyamar sebagai "Edmond Wax", seorang duda berbangsa Amerika yang merupakan peniaga di Malaysia yang telah menyatatakan hasrat hatinya untuk mengahwini mangsa.

Setibanya di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mangsa menaiki teksi dan menuju ke sebuah rumah (tempat kejadian) di mana Samuel dan suspek yang masih bebas mengurung mangsa di dalam sebuah bilik dengan tangan dan kakinya diikat serta mulutnya ditutup.

Apabila mangsa sedar daripada pengsan keesokan harinya, beliau mendapati dirinya telah dikurung di dalam sebuah bilik dalam keadaan berbogel dan wanita itu juga tidak diberi makan selama empat hari dan dipukul di bahagian muka apabila meminta makanan.

Pada satu ketika, mangsa turut dimarahi, ditendang dan diterajang oleh Samuel serta seorang lagi suspek yang masih bebas apabila cuba menyelamatkan diri dan tidak cukup dengan itu, suspek yang masih bebas turut menggunakan pisau yang dipanaskan untuk memukul mangsa di bahagian tangan dan badan.

Selepas beberapa hari dikurung, mangsa telah dipengsankan sekali lagi oleh Samuel dan seorang lagi suspek yang masih bebas sebelum ditinggalkan di atas jalan PJS 11, Petaling Jaya pada 17 Dis tahun lepas.

Mangsa ditemui oleh orang awam dan dibawa ke hospital.

Barang-barang milik mangsa seperti satu beg bagasi, sebuah telefon bimbit jenama i-phone dan sebuah komputer riba turut diambil oleh Samuel dan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Nurrul Atika dan Khairun Azhan telah datang melawat Samuel di tempat kejadian dan sepanjang tempoh mangsa dikurung, mereka berdua nampak mangsa dan Samuel juga telah memberitahu mereka berdua bahawa mangsa telah diperdayakan untuk datang ke Malaysia seterusnya dikurung dengan salah.

Nurrul Atika dan Khairun Azhan juga tanpa apa-apa sebab telah sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel kepada polis atau kepada mana-mana pegawai polis yang berhampiran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Roslan sementara ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam-peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Salim Bashir dan Abu Dzarr Ab Karim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan