Kes Hina Mahkamah: Musa Hassan, Bakri Didapati Tidak Bersalah

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memutuskan bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, tidak bersalah terhadap prosiding menghina mahkamah yang dibuat dua lelaki berhubung penahanan semula mereka mengikut Ordinan Darurat 1967.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak juga menolak notis usul yang dipohon oleh B. Sasinthiran, 28, dari Kuala Selangor dan R. Muniyandi, 26, dari Kluang, Johor.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah), Parlimen telah memberi kuasa yang penuh kepada polis untuk menahan kedua-dua pemohon.

"Di bawah ordinan itu Parlimen telah memberi kuasa penuh kepada polis untuk menahan kedua-dua pemohon yang didakwa terlibat dalam aktiviti jenayah dan polis kemudiannya akan menyerahkan laporan seperti termaktub di bawah Seksyen 3(3) ordinan yang sama kepada menteri, dan selepas membaca laporan itu menteri berkenaan akan mengeluarkan perintah tahanan di bawah Seksyen 4(1) ordinan yang sama.

"Seksyen 3(1) Ordinan Darurat tidak menyebut sama ada polis tidak boleh menggunakan alasan yang sama untuk menahan semula pemohon," katanya.

Terdahulu itu, Mohd Sofian berkata kedua-dua permohonan itu menyatakan writ habeas corpus telah diserahkan kepada Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam di Johor dan bukan kepada kedua-dua responden secara peribadi.

"Persoalan itu terjawab bahawa kedua-dua responden mengetahui terma writ habeas corpus. Mahkamah tidak dapat mencari sedikit pun bukti untuk menyokong pertikaian ini.

"Tanggungjawab adalah kepada kedua-dua pemohon untuk membuktikan bahawa kedua-dua responden telah menerima writ habeas corpus dan mereka memahami terma writ habeas corpus dan telah melanggarnya.

"Kegagalan pihak responden untuk memfailkan afidavit jawapan tidak boleh melepaskan pemohon untuk membuktikan kes mereka di luar keraguan yang munasabah," katanya.

Mohd Sofian juga berkata dalam apa keadaan pun jika merujuk kepada afidavit sokongan yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon, ia menunjukkan tangkapan semula itu dilakukan di luar pusat tahanan.

"Iaitu berdasarkan terma writ habeas corpus, pemohon dibebaskan dari pusat tahanan sebaik sahaja writ habeas corpus diserahkan kepada Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam di Johor.

"Berdasarkan segala bukti yang ada, mahkamah tidak berpuas hati bahawa kedua-dua responden mengetahui mengenai terma writ habeas corpus. Bukti-bukti yang dikemukakan oleh pemohon terhadap kedua-dua responden adalah tidak mencukupi untuk mengemukakan dakwaan di luar keraguan yang munasabah.

Muniyandi dan Sasinthiran, ditahan mengikut Ordinan Darurat atas dakwaan terbabit dengan gengsterisme dan lain-lain kegiatan jenayah.

Muniyandi berjaya mendapatkan writ habeas corpus dari Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Jun tahun ini dan dia ditahan semula sebaik sahaja keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor pada 23 Jun.

Sementara itu, Sasinthiran mendapat writnya pada 29 Julai dan dia ditahan semula hari berikutnya.

Pada 30 Sept, kedua-dua lelaki itu berjaya dalam usaha mereka untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Musa dan Mohd Bakri kerana tidak mematuhi arahan mahkamah bagi membebaskan mereka.

Musa dan Muhd Bakri hadir di mahkamah hari ini.

Peguam Datuk N. Sivananthan mewakili Muniyandi dan Sasinthiran manakala Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria dan Othman Yusof mewakili kedua-dua responden. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan