Aminulrasyid Meninggal Dunia Disebabkan Luka Tembakan Di Kepala

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perbicaraan kes seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian remaja lelaki berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa mangsa meninggal dunia disebabkan oleh luka tembakan di kepalanya.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, juga berkata Aminulrasyid berkemungkinan besar meninggal dunia beberapa minit atau saat selepas ditembak.

"Ini kerana luka tembakan itu hampir dengan batang otak yang berfungsi mengawal pernafasan dan terdapat pendarahan yang agak tebal pada batang otak. Kecederaan seperti itu boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad.

Dalam perbicaraan itu, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-23 pendakwaan itu berkata semasa mayat mangsa dibawa ke bilik mayat pada pukul 5.55 pagi hari kejadian, keadaan kaku mayat telah berlaku berikutan mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu.

Beliau juga mendapati terdapat pendarahan pada hidung Aminulrasyid dan kesan darah yang banyak di belakang badan mangsa serta kemeja-t lengan pendek berwarna kuning, seluar pendek berwarna biru dan seluar dalam yang dipakainya.

Ketika Dr Khairul Azman membuka sampul surat mengandungi kemeja-t tersebut, perbicaraan terpaksa ditangguhkan seketika berikutan bau darah kering pada pakaian itu memenuhi seluruh ruang mahkamah.

Terdahulu, saksi itu berkata semasa menjalankan bedah siasat ke atas mayat Aminulrasyid, beliau mendapati terdapat lubang tembakan pada bahagian belakang kepala dan kesan lebam pada bahagian dahi sebelah kanan mangsa.

Beliau juga mendapati terdapat sebutir anak peluru melekat pada tisu lembut di bawah kulit di bahagian hadapan dahi kanan Aminulrasyid tetapi ia tidak menembusi kulit kepalanya.

"Pada bahagian belakang tengkorak terdapat satu lubang yang merupakan luka tembak masuk yang menghala ke depan.

Terdapat 'bullet track' yang masuk dari bahagian belakang kiri otak menghala ke depan sedikit condong ke kanan melalui atas batang otak dan keluar pada bahagian depan otak.

"Saya juga periksa pada bahagian dada dan didapati tulang dada tidak patah serta tiada pendarahan pada rongga dada tetapi ada sedikit kesan lebam pada tisu lembut pada kulit dada belah kanan berkemungkinan disebabkan oleh impak dengan benda tumpul," katanya.

Selain itu, saksi pendakwaan itu berkata beliau turut memeriksa bahagian perut mangsa dan menemui nasi yang belum dihadam.

Dr Khairul Azman berkata beliau turut menemui beberapa kesan calar dan luka pada tubuh Aminulrasyid yang konsisten dengan kecederaan yang disebabkan oleh geseran atau impak dengan benda yang tumpul.

Ditanya mengenai jarak tembakan dilepaskan berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa, pakar forensik itu berpendapat bahawa tembakan dilepaskan dari jarak yang jauh berikutan corak luka akibat tembakan tersebut bukan berbentuk bintang.

"Jika luka tembakan berbentuk bintang tembakan dilepaskan dari jarak dekat dan luka tembakan juga didapati tidak menembusi kulit, sekiranya (tembakan) dekat ia akan tembus.

"Saya berpendapat tembakan tidak dilepaskan dari jarak dekat kerana tiada kesan terbakar pada kulit kepala mangsa," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan