Peniaga Nasi Tomato Dihukum Gantung Kerana Bunuh Jiran

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Rabu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang peniaga kedai makanan kerana didapati bersalah membunuh jirannnya empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dan pembelaan yang dikemukakan tertuduh, Omar Shaari, 49, hanya bersifat penafian semata-mata tanpa memberi manfaat kepada pembelaannya.

Omar, yang berasal dari Perak dan berniaga nasi tomato di Taman Tun Sardon, dituduh membunuh Faridah Mohd Shariff, 46, antara 11 pagi dan 2 petang 12 Sept 2006 di rumah bernombor 307-1, Jalan Datuk Keramat di sini.

Terdahulu dalam penghakiman bertulisnya Abdul Halim berkata tertuduh, yang diwakili peguam N.Ahilan, jelas telah mereka-reka cerita dan cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan Faridah sebenarnya telah dibunuh oleh pembantunya, Farouk Khan, 25, seorang rakyat Myanmar.

"Keterangan tertuduh dalam pembelaannya penuh dengan keraguan. Tindakannya yang cuba mengalihkan beban kepada Farouk Khan tidak boleh diterima akal. Mana mungkin seorang pendatang asing tanpa izin sepertinya mampu menarik dan membuang mayat mangsa di kawasan belukar tersebut seorang diri dan dia juga bukan orang yang mengenali Faridah.

"Untuk mengangkat mayat mangsa sejauh itu, dia sudah tentu memerlukan kereta dan sebenarnya tertuduhlah yang merupakan dalang dalam jenayah ini dan Farouk Khan hanya bertindak sebagai pembantu. Ini jelas daripada keterangan saksi pendakwaan sebelum ini yang telah melihat sebuah kereta berada di hadapan rumah tertuduh sewaktu hari kejadian," katanya.

Abdul Halim berkata keterangan kedua-dua isteri tertuduh yang dibawa sebagai saksi pembelaan juga tidak langsung mencacatkan atau menggugat keterangan saksi-saksi utama pendakwaan.

Beliau berkata keterangan mereka berdua hanya bersifat satu penjelasan kepada mahkamah bagi membuktikan suami mereka itu tidak mempunyai masalah kewangan dan mereka memperoleh keuntungan hasil perniagaan.

Omar, yang berada dalam kandang tertuduh pada mulanya hanya mendengar penghakiman yang dibacakan terhadapnya dengan teliti, kemudiannya memandang abang kandung, isteri dan anaknya yang berada di galeri awam sambil mengangkat bahunya beberapa kali dan tersenyum ketika hukuman gantung itu diputuskan terhadapnya.

"Nasiblah," katanya yang memakai baju kotak-kotak hitam putih dan berseluar jeans hitam.

Isteri tertuduh turut pengsan ketika cuba berjalan ke arahnya. Omar kemudian dilihat mengusap-usap isterinya itu dan duduk berhampirannya sehingga dipulihkan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Arik Zakri Abdul Kadir. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan