Mahkamah Batalkan Saman RM5 Juta Saari Sungib Terhadap Polis

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman RM5 juta anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Saari Sungib terhadap polis yang didakwa bertindak tidak profesional sehingga menjatuhkan maruah beliau di khalayak ramai pada satu perhimpunan di sebuah pusat membeli belah, Subang Jaya, dua tahun lepas.

Saari, yang diwakili peguam Anwar Ezzad, menamakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku defendan, dan mereka diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan membatalkan saman itu dengan kos dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan pihak polis.

Antara alasan pembatalan saman itu ialah writ saman dan penyataan tuntutan Adun berkenaan gagal menamakan pegawai yang bertanggungjawab atas kejadian yang didakwa dilakukan mengikut Seksyen 5 dan 6(1) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Pihak polis juga menyatakan jika pegawai berkenaan tidak dinamakan sebagai defendan, bagaimana beliau hendak membela diri bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka.

Dalam pernyataan tuntutannya, Saari mendakwa pada 18 Mac 2007, kira-kira 10 anggota polis, tanpa tidak memberi amaran, telah memaut lehernya dengan kuat dari belakang ketika beliau sedang memberikan taklimat kepada kira-kira 50 orang awam di pusat membeli-belah itu, yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kesan kenaikan harga tol lebuh raya.

Adun PAS itu mendakwa anggota polis terbabit telah memukul, mengheret, menggenggam atau meramas zakar beliau di khalayak ramai dengan kasar, yang bertujuan menghalangnya dari meneruskan taklimat tersebut kepada orang awam.

Saari juga mendakwa anggota polis terbabit telah meniarapkan badannya dengan kasar, serta menekan beliau dengan kuat ke lantai untuk digari, sehingga mencederakan lututnya.

Beliau mendakwa tindakan anggota polis itu terjumlah kepada suatu tindakan fitnah terhadapnya dalam bentuk lisan secara tindakan, dan melampaui batasan atau kuasa.

Katanya, beliau telah mendapatkan rawatan pada hari yang sama, dan laporan doktor mengesahkan beberapa kecederaan serta luka di kedua-dua pergelangan tangan, bahu kiri, tangan kanan, siku kanan dan tangan kiri.

Saari mendakwa ditahan di Balai Polis Subang Jaya secara tidah sah selepas itu, dan walaupun satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, sehingga kini beliau tidak mengetahui sebarang perkembangan mengenai hasil siasatan kes tersebut.

Beliau kemudian telah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada kesemua defendan pada 24 Okt 2007, namun hanya menerima sepucuk surat dari Jabatan Peguam Negara pada 15 Nov yang memaklumkan bahawa semakan mengenai perkara yang berlaku ke atasnya sedang dilakukan, dan sehingga kini, kesemua defendan gagal memberi sebarang penjelasan munasabah kepadanya.

Sehubungan itu, Saari meminta mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang defendan atau anggota bawahan mereka supaya tidak mengulangi tindakan kasar mereka terhadapnya, surat permohonan maaf, ganti rugi am RM3 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi melampau RM1 juta, ganti rugi khas RM1,000, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan mereka, kesemua defendan antara lain, menafikan dakwaan Saari dan mendakwa Adun itu didapati menyampaikan ucapan berbaur hasutan bagi membangkitkan kemarahan kepada kerajaan kepada kira-kira 300 orang dalam satu perhimpunan yang tidak mempunyai permit, mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Mereka juga mendakwa Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah memberi arahan kepada Saari untuk bersurai kerana perhimpunan itu tidak mempunyai permit, tetapi Adun itu enggan berbuat demikian malah meneruskan ucapannya.

Justeru, defendan berkata pihak polis telah bertindak menangkap Saari sebagai langkah terakhir untuk menghalang beliau daripada meneruskan ucapannya.

Mereka mendakwa Adun itu telah bertindak agresif kerana enggan menyerah diri, melawan serta tidak memberikan kerjasama sehingga berlaku bergelutan yang menyebabkan polis bertindak menggunakan kekerasan munasabah bagi menahan beliau.

Mengenai laporan polis Saari, mereka mendakwa satu kertas inkuiri telah dibuka dan siasatan telah dijalankan oleh Cif Inspektor Roslin Mohamad Isa.

Bagaimanapun, mereka mendakwa kes itu masih belum selesai kerana Adun tersebut tidak memberikan kerjasama bagi membolehkan percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dirakam. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan