PKFZ: OC Phang Fail Notis Permohonan Tangguh Bicara

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Phang Oi Choo memfailkan notis permohonan untuk menangguhkan perbicaraan terhadap tiga pertuduhan pecah amanah yang melibatkan wang berjumlah RM254 juta berhubung skandal pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Permohonan itu dibawa ke pengetahuan Hakim Mahkamah Sesyen Klang yang bersidang di sini, Asmadi Hussain pada Selasa, yang pada asalnya ditetapkan sebagai perbicaraan kes.

Peguam yang mewakili Phang, Francis Ng Aik Guan berkata, permohonan itu difailkan selepas pihaknya menyedari terdapat isu-isu bertindih dalam kes terhadap Phang dengan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

Ling, 67, didakwa pada 29 Julai lalu atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdayakan Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah bagi projek ‘Mega Distribution Hub’ di Pelabuhan Klang.

“Sehubungan itu anak guam saya telah mengarahkan saya untuk memfailkan notis penggantungan bagi semua prosiding sehingga selesai perbicaraan terhadap Ling,” kata Ng.

Berdasarkan notis permohonan, Francis menyatakan bahawa penggantungan itu diperlukan kerana terdapat banyak pertindihan khasnya berkaitan latar belakang dan skop kelulusan yang dikatakan dipersetujui oleh Jemaah Kabinet tentang pembelian tanah tersebut.

“Sebarang keputusan dalam kes Ling akan mempunyai kesan dan mempengaruhi aliran pembentangan kes pembelaan Phang, memandangkan isu Ling adalah bagi tempoh 25 September hingga 6 November 2002 mendahului tempoh dalam kes terhadap Phang,” katanya.

Turut dinyatakan, adalah lebih baik kes Ling, yang menjawat jawatan menteri selama 14 tahun daripada Januari 1986 hingga Mei 2000 diselesaikan dahulu memandangkan terdapat kemungkinan beliau akan dipanggil atau diperlukan sebagai saksi dalam kes itu.

Selain itu, Francis juga memberitahu notis juga melibatkan permohonan pihaknya untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

Antara dokumen itu ialah Minit-Minit Mesyuarat Jemaah Kabinet dan persuaratan Kementerian Pengangkutan berkaitan kelulusan projek Mega Distribution Hub dikelasakan semula untuk membenarkan penggunaannya tanpa sebarang pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi 1972.

Turut dimohon ialah untuk mengemukakan rakaman percakapan Ling, Datuk Seri Chan Kong Choy, Datuk Ong Tee Keat dan Ir Zai Abas.

“Kesemua dokumen yang dimohon adalah demi perlaksanaan keadilan dan tanpa dokumen pembelaan tertuduh akan dinafikan dan terjejas,” katanya dan memohon maaf kerana perkara itu hanya disedari semasa membuat persediaan bagi perbicaraan.

Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad yang mewakili pendakwaan memohon supaya diberikan masa untuk menjawab notis dan afidavit yang diikrarkan Phang pada 21 Oktober lalu, memandangkan ia baru diterima lewat petang Jumaat lalu.

Asmadi menetapkan 28 Oktober bagi pihak pendakwaan berbuat demikian manakala permohonan penangguhan akan didengar pada 15 November ini.

Dalam kes ini, Phang didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan yang sama masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan