Permohonan Bekas Sultan Kelantan Tangguh Pendengaran Petisyen Ditolak

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin menolak permohonan bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra untuk menangguhkan pendengaran petisyen berhubung Perkara 63 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang difailkan baginda.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu sebulat suara selepas mengambil kira kepentingan awam.

Dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar petisyen itu ialah Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Hakim Zulkefli kemudian mengarahkan peguam Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili Sultan Muhammad V atau Tuanku Muhammad Faris Petra, yang dinamakan sebagai responden pertama, berhujah mengenai isu bidang kuasa Tuanku Ismail Petra memfailkan dua petisyen berkenaan secara berasingan, masing-masing bertarikh 5 Mei dan 22 Jun.

Selain anakanda sulung baginda, Tuanku Ismail Petra turut menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden kedua.

Peguam Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa, Datuk Yaacob Hussain Merican dan Abdul Rashid Ismail yang mewakili Tuanku Ismail Petra kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka belum bersedia untuk berhujah kerana baru dilantik, manakala peguam utama Raja Aziz Addruse pula memerlukan rawatan lanjut kimoterapi di Singapura kerana menghidap penyakit limfoma.

Yaacob berkata jika mahkamah bertegas mahu meneruskan prosiding pada hari ini, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali menarik diri daripada mengendalikan kes itu.

Hakim Zulkefli kemudian mencelah untuk mengingatkan peguam berkenaan bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dari mahkamah itu kerana tindakan tersebut boleh dianggap sebagai tidak menghormati mahkamah.

"Hari ini kita tidak akan menyentuh merit petisyen berkenaan, tetapi lebih kepada isu bidang kuasa pempetisyen (Tuanku Ismail Petra) dalam membuat permohonan tersebut, dan sebagai pegawai mahkamah, kita perlu menghormati keputusan mahkamah.

"Tolong jangan terburu-buru dan membuat andaian bahawa anda perlu membalas hujah tersebut hari ini juga, anda boleh kemukakan permohonan (untuk penangguhan) selepas peguam responden selesai berhujah," katanya.

Abraham, yang membantah permohonan supaya prosiding hari ini ditangguhkan berkata, ketiga-tiga peguam boleh menarik diri melalui cara yang betul iaitu dengan memfailkan permohonan berhubung perkara itu mengikut peraturan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Zulkefli kemudiannya mengarahkan Abraham mengemukakan hujahan.

Dalam petisyen pertamanya, Tuanku Ismail Petra meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan dua isu iaitu:

a) sama ada Pemangku Raja di Kelantan, semasa ketidakupayaan Sultan, berhak mengambil alih kuasa penuh Sultan dan bertindak seolah-olah Sultan bukan lagi raja pemerintah di negeri berkenaan;

b) sama ada Pemangku Raja, semasa ketidakupayaan Sultan, mempunyai kuasa atau autoriti:

i) untuk menyingkirkan mana-mana anggota Majlis Perajaan Negeri yang dilantik Sultan.

ii) untuk melantik orang lain menggantikan anggota yang disingkir dalam Majlis Perajaan Negeri tersebut.

Dalam petisyen kedua pula, baginda meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan berhubung kebebasan asas seorang Sultan.

Pada 20 Sept lepas, Tuanku Ismail Petra telah memfailkan petisyen ketiga yang meminta mahkamah berkenaan mengisytiharkan bahawa pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan baru Kelantan adalah tidak mengikut perlembagaan.

Pada prosiding hari ini, Abraham berhujah bahawa Tuanku Ismail Petra tidak mempunyai hak untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Perkara 63 Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan kerana baginda bukan lagi Sultan di negeri berkenaan.

Katanya, Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Beliau berkata apabila dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra telah diperuntukkan kuasa sebagai raja pemerintah atau Sultan sehingga ayahanda baginda sembuh daripada ketidakupayaannya.

"Di sini, pempetisyen tidak pernah sembuh daripada ketidakupayaan baginda dan difikirkan tidak sesuai memegang jawatan atau menjalankan tugasnya sebagai Sultan," katanya.

Abraham berhujah mengikut Perkara 22A(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra dikehendaki supaya terus bertindak sebagai Pemangku Raja sehingga Tuanku Ismail Petra sembuh.

"Persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada terdapat dua individu yang mungkin melaksanakan kuasa sebagai Sultan secara serentak mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

"Jawapannya sudah tentu tidak," katanya.

Sehubungan itu, Abraham berkata Tuanku Ismail Petra tidak mempunyai hak untuk merujuk isu berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan, dan ketiga-tiga petisyen yang difailkan baginda perlu ditolak dengan kos.

Hakim Zulkefli kemudiannya menetapkan 11 Nov untuk mendengar hujah balas. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan