Kes Lapan Ahli Perniagaan Cabar AMLA Didengar Khamis

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan lapan ahli perniagaan dan lima lagi untuk mencabar Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) akan didengar pada Khamis ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zawawi Salleh menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Michael Chow, yang mewakili 13 pemohon, dan Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail yang mewakili Bank Negara dan kerajaan.

Pada 6 September, ahli perniagaan Khor Peng Chai, isterinya Lee Moi Tiang dan anak mereka Khor Yea Jye, tujuh ahli perniagaan lain dan tiga syarikat yang memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi mengisytiharkan Seksyen 44 AMLA adalah melanggar Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan batal, serta tidak mempunyai kesan.

Secara alternatif, mereka juga memohon perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan Bank Negara sebagai responden pertama dalam mengeluarkan atau menyebabkan pengeluaran notis pembekuan bertarikh 28 Julai, menurut Seksyen 44 AMLA.

Selain itu, pemohon juga memohon perintah untuk Bank Negara mengambil semua langkah bagi membatalkan semua pembekuan berkenaan termasuk mengeluarkan notis kepada semua institusi kewangan, yang menempatkan akaun-akaun terbabit dalam perintah pembekuan.

Mereka turut memohon kos dan ganti rugi-ganti rugi lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan