Kes Cerai Zakiah Anas Disebut 3 November

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini menangguhkan kes permohonan cerai secara baik oleh personaliti TV3, Zakiah Anas kepada 3 November ini untuk membolehkan wakil Jawatankuasa Pendamai pasangan itu hadir ke mahkamah.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad menetapkan tarikh itu ekoran wakil jawatankuasa itu tidak menghadiri prosiding mahkamah pada Selasa, yang telah ditetapkan untuk memberi penerangan mengenai tugas jawatankuasa dalam mencari penyelesaian kepada masalah pasangan itu.

Ghazali juga memberi peringatan kepada jawatankuasa tersebut untuk menghadiri prosiding akan datang supaya kes dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya mahu jawatankuasa yang dilantik hadir di mahkamah. saya ingin memberi arahan berhubung perlaksanaan supaya penyelesaian segera dapat dicapai. Jadi, saya harap wakil kedua-dua belah pihak akan dapat hadir,” katanya.

Terdahulu, ketidakhadiran wakil jawatankuasa itu dimaklumkan oleh peguam syarie Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah, bekas pengacara yang sinonim dengan rancangan kepolisan 999.

Jawatankuasa tersebut dibentuk rentetan daripada permohonan Zakiah, 43, memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik terhadap suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib, 48.

Zakiah memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sebelum ini, Ghazali memerintahkan supaya jawatankuasa itu dibentuk dan dipengerusikan oleh seorang pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mencari jalan perdamaian antara kedua-dua pihak itu.

Bagaimanapun, sehingga kini jawatankuasa itu masih belum dapat mencari jalan penyelesaian terbaik dalam masalah rumah tangga pasangan yang telah bersama selama 17 tahun lalu. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzahaffar, 14.

Dalam jawatankuasa itu, Zakiah diwakili anak saudaranya, Affendi Yusoff manakala Mohamad Yusof memilh sepupunya, Md Hairi Md Salleh sebagai wakil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan