Pengawal Keselamatan Mencuri Di Balai Polis Dipejara

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pada kebiasaannya, seorang pencuri akan mengelak daripada apa sahaja yang berkaitan polis, tetapi berlainan dengan seorang pengawal keselamatan yang berani mencuri pintu pagar milik sebuah balai polis, tiga hari lalu.

Sifat berani N.Jayaraman, 57, bukan sahaja tidak bertempat malah membawa padah selepas dia diarahkan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas kesalahan itu.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Aina Azahra Arifin selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan mencuri pagar besi berukuran 2.7 meter panjang dan 1.2 meter lebar milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hukuman itu diarahkan bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pda pukul 4 petang, 16 Oktober lalu di Batu 2 ½, Jalan Cheras, di hadapan Tapak Lama Ibu Pejabat Polis, di sini.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Muhamad Sapri Yaakub mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menyatakan, perbuatan tertuduh disedari oleh seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Semasa itu, tertuduh sedang mengumpil dan mematahkan pagar bahagian hadapan balai polis terbabit.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan