Kes AminulRasyid: Saksi Lapor Polis Untuk Bantu Keluarga Mangsa

Diterbitkan: Selasa, 19 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Saksi yang melihat seorang pelajar, AminulRasyid Amzah yang didakwa ditembak seorang anggota polis mengakui bahawa dia membuat laporan polis dengan tujuan mahu membantu keluarga remaja terbabit.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, yang merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian swasta memberitahu, laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, tiga hari selepas dia melihat kejadian.

Dia yang disoal balas oleh peguam Salim Bashir juga mengakui ada berjumpa dengan keluarga mangsa, (yang dikenali menerusi abang AminulRasyid, Muhammad Shahreeman Putra, 29, sejak kecil) sebelum laporan dibuat.

Selain itu, saksi juga telah bercakap dengan Monalisa Mokhtar yang merupakan pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen Sembilan, di sini, iaitu tempat mangsa belajar.

“Saya membuat laporan polis bersama seorang peguam, Fadiah Naewa Fikri yang dilantik oleh keluarga mangsa. Saya ambil tempoh masa tiga hari kerana peguam itu mengatakan akan mengiringi saya ke balai untuk membuat laporan apabila masanya sesuai,” katanya.

Menurut Zafrullah lagi, dia tahu peguam tersebut dilantik oleh keluarga mangsa selepas Muhammad Shahreeman memintanya datang ke rumah kerana terdapat sekumpulan peguam mahu berjumpa dan ingin mendengar ceritanya.

Zafrullah adalah saksi yang mendengar bunyi tembakan bertalu-talu yang diakhiri dengan dentuman objek berlanggar dan melihat satu mayat tertiarap di kereta Proton Iswara sambil dikawal oleh dua kereta peronda.

Kejadian itu berlaku di belakang rumahnya dan pada kejadian awal pagi itu, saksi sedang menyiapkan tugasan di ruang atas rumah.

Pada keterangan lain, Zafrullah memberitahu, Muhammad Shahreeman ada menghubunginya pada pukul 8 pagi, 26 April lalu untuk memaklumkan kehilangan AminulRasyid bersama kereta milik seorang lagi adiknya, Nor Azura, 26.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-15 itu memilih untuk tidak menceritakan kejadian yang dilihatnya kepada Shahreeman sewaktu itu kerana tidak mahu menambahkan kerunsingan lelaki tersebut.

“Saya tidak mahu berprasangka buruk. Shahreeman tahu adiknya hilang. Saya mahu dia terus berfikiran positif,” tambahnya pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Saksi juga tidak pernah melihat ataupun mengetahui AminulRasyid membawa kereta.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Inspektor Muhammad Radhi Abdul Hamid, 29, dari Bahagian Persenjataan Teknikal, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, mengesahkan bahawa dua laras senjata jenis sub-machine gun HK MP5 yang dirampas daripada dua kereta peronda berfungsi dengan baik.

Katanya lagi, senjata itu termasuk satu yang dilabelkan dengan nama tertuduh, Koperal Jenain Subi diterima daripada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Abd Halim Ismail dan diuji pada 13 Mei lalu di Lapang Sasar Tembak Meru, Klang, dekat sini.

Terdahulu, prosiding hari ini dimulakan dengan mahkamah melawat tempat kejadian di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, untuk mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai lokasi kejadian.

Rombongan mahkamah yang terdiri daripada Hakim Latifah Mohd Tohar, pihak pendakwaan dan barisan pembelaan serta jurubahasa mahkamah dikawal tiga kereta peronda tiba di lokasi pada pukul 9.30 pagi.

Turut berada di lokasi ialah Zafrullah, yang menunjukkan setiap lokasi kejadian temasuk pokok dan dinding yang dilanggar kereta terbabit. Kira-kira 12 anggota polis beruniform mengawal lokasi itu.

Rombongan turut berjalan kaki ke rumah Zafrullah, dan sebelum masuk saksi memberitahu dia perlu meminta izin daripada ibunya memandangkan lawatan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

Jenain, 42, sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pedakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad manakala selain Salim, tertuduh turut diwakili peguam-peguam M. Athimulan dan Halim Ashgar.

Perbicaraan bersambung Rabu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan