Zaki Seru Peguam, Badan Kehakiman Bekerjasama Jayakan Sistem Baru

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi menyeru peguam agar bekerjasama dengan badan kehakiman bagi memastikan kejayaan sistem mahkamah yang baru dilancarkan.

Beliau berkata, jika tidak, ia akan berbalik kepada amalan lama dan badan kehakiman tidak mungkin mengalami situasi lebih teruk melalui penggunaan kaedah konvensional dalam pengurusan kes.

"Jadi, peguam diminta tampil memberi maklum balas berguna kepada badan kehakiman. Saya telah berulang kali menjemput anda berjumpa dengan kami jika mempunyai sebarang masalah, e-mel, sms atau tulislah kepada kami," katanya ketika melancarkan Sidang Audio Untuk Mahkamah di Malaysia di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Sidang itu akan membolehkan peguam mengambil bahagian secara serentak menerusi telefon dengan Pendaftar Mahkamah.

Zaki berkata badan kehakiman telah menyiasat segala aduan sah dan cuba membetulkannya, dan jika ada mana-mana bahagian dalam sistem baru itu yang tidak betul, beliau orang pertama yang akan berasa aib.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas, badan kehakiman telah memperkenalkan begitu banyak inovasi, kebanyakannya dihasilkan "bakat tempatan" manakala yang lain dicontohi dari seberang laut bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem mahkamah, dan mengurangkan kes tertunggak. "Semua kemudahan baru ini tidak begitu menguntungkan Hakim, Majistret dan Pendaftar sebagaimana ia menguntungkan peguam dan pelanggan mereka...dan saya akan terus mencari jalan bagi memperbaikinya selagi saya berada di sini," katanya.

Zaki berkata sistem baru itu ialah bagi menangani hal-hal berkaitan pengurusan kes, sebutan untuk tarikh perbicaraan baru, perbicaraan tunjuk sebab dan komunikasi antara mahkamah, yang memberi manfaat kepada peguam dan mahkamah kerana ia menjimatkan masa, selain kes lebih mudah diuruskan dan menjadi lebih fleksibel.

"Dengan pemasangan sidang telefon ini, peguam boleh melakukan pengurusan kes dengan lebih selesa di pejabat mereka.

"Mereka tidak lagi perlu bersusah-payah mengharungi kesesakan lalu lintas yang kian teruk, semata-mata untuk menghabiskan masa selama dua minit di mahkamah bagi mendapatkan tarikh bicara," katanya.

Sistem baru itu juga, katanya, akan menjimatkan kos litigasi, menghapuskan tempoh menunggu, menjimatkan masa dan kos perjalanan ke mahkamah serta mudah kerana ia boleh dilakukan pada bila-bila masa, dan di mana sahaja.

Zaki juga berkata sistem mahkamah mampu diperbaiki lagi sekiranya kemudahan Internet terus dipertingkatkan kerana badan kehakiman boleh melaksanakan sistem pemfailan elektronik seperti Singapura, di mana dokumen difailkan dari pejabat peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak boleh dilakukan di Malaysia kerana mahkamah menerima sehingga 1,500 writ saman, permohonan dan lain-lain setiap hari, yang akan menyebabkan sistem itu rosak sebelum ia dilaksanakan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Zaki menjelaskan bahawa sistem baru tersebut telah dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di seluruh negara sejak Isnin lepas.

Sejumlah 174 Pendaftar Mahkamah dibekalkan dengan perkhidmatan baru itu yang disediakan oleh Maxis.

Ditanya kos keseluruhan sistem itu, Timbalan Presiden kanan Maxis M.Fitri Abdullah berkata tiada yuran langganan bulanan dikenakan untuk perkhidmatan itu, namun bayaran sebanyak RM2 dikenakan bagi setiap sidang dan RM5 untuk setiap rakaman.

Pada masa ini, sidang itu boleh melibatkan sehingga 10 peserta sekaligus.

Mengenai isu lain, Zaki menolak pendapat seorang peguam bahawa Mahkamah Persekutuan ketika ini tidak memberikan mereka kebenaran untuk merayu.

Enggan menjawab soalan itu, beliau berkata, "Saya tidak mahu jawab soalan itu. Semalam, saya telah berikan kebenaran (untuk merayu) kepada seorang peguam.

"Ia bergantung kepada merit, jika mereka mempunyai merit untuk merayu, mahkamah akan memberi kebenaran."

Katanya, bagi mendapatkan kebenaran membuat rayuan, pemohon perlu memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Zaki juga berkata mana-mana peguam yang kalah akan menyalahkan mahkamah dan jika mereka menang, mereka akan menyatakan bahawa hakim yang mendengar kes berkenaan sememangnya bagus. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan