Pegawai Penyiasat Dakwa Tiada Niat Sorok Surat

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pegawai Penyiasat (IO) Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Khamis, bahawa beliau tidak pernah berniat mahu menyembunyikan surat yang didakwa ditulis oleh pembantu politik, Teoh Beng Hock sebelum dia ditemui mati.

Ahmad Nazri, 38, yang merupakan saksi inkues ke-35 berkata, beliau telah pun memaklumkan mengenai penemuan surat tersebut yang ditulis dalam karakter Cina dan tulisan rumi sebaik sahaja beliau menyedari isi kandungannya pada Mac lalu.

“Semasa saya menemui surat itu, tiada seorang pun di dunia yang tahu. Tetapi saya berlaku jujur dan memaklumkan penemuan dan membawa surat tersebut kepada Jabatan Peguam Negara,” tambahnya.

Mendengarkan jawapan Ahmad Nazri, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh dengan spontan mengatakan bahawa beliau sedar saksi telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai IO.

Bagaimanapun, Gobind tetap menyoal saksi mengapa tiada siasatan dibuat terhadap isi kandungan surat itu (yang ditemui dalam beg sandang Teoh di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia –SPRM) kerana ia dapat membantu inkues yang telah berlangsung lebih daripada setahun.

Ahmad Nazri: Saya telah memaklumkan kepada pihak atasan dan juga pendakwa raya, tetapi tidak mendapat arahan untuk menyiasat.

Gobind: Kamu sebenarnya menunggu arahan untuk menyiasat, tetapi tidak menerima arahan tersebut?

Ahmad Nazri: Prosiding inkues telah bermula, jadi saya berpendapat surat itu mungkin akan dikemukakan di mahkamah menerusi saya sebagai IO.

Gobind: Saya cadangkan sebab surat disimpan adalah kerana ia boleh menunjukkan pekara sebenar iaitu pegawai SPRM telah menekan Teoh sehingga membawa kepada kematiannya?

Ahmad Nazri: Saya tidak tahu.

Gobind: Selepas keterangan Dr Pornthip Rojasunan, Dr Peter Vanezis dan Dr Shahidan Md Noor mengenai kesan pada leher Teoh diterima, pihak pendakwaan tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Oleh itu, mereka membuat keputusan untuk mengemukakan surat ini untuk cuba menyakinkan bahawa Teoh membunuh diri?

Ahmad Nazri: Tidak benar.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, Plaza Masalam di Seksyen 9, di sini dan kematiannya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil untuk memberi kenyataan di pejabat SPRM, yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung 22 Oktober ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan