Saksi Dengar Bunyi Tembakan Bertalu-talu

Diterbitkan: Khamis, 14 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang sedang menyiapkan tugasan mendengar bunyi tembakan selama antara 20 hingga 30 saat dan diakhiri dengan dentuman pada hari pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah meninggal dunia.

Zamrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi ‘tap’ lebih 10 kali yang datang dari arah belakang rumahnya adalah bunyi mercun meletup, yang turut diselang-selikan dengan bunyi siren kereta peronda polis.

Katanya, bunyi tersebut yang didengar pada pukul 1.30 pagi, 26 April lalu juga semakin kuat dan selepas dentuman hanya siren polis yang kedengaran menyebabkan dia terus ke arah tingkap di tingkat dua rumah untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya nampak sebuah kereta telah melanggar dinding dan kemudian dua kereta peronda polis tiba serta mengepung kereta tersebut. Saya bergegas keluar dari rumah. Jarak antara rumah saya dan tempat kejadian adalah kira-kira 10 meter.

“Saya ternampak seorang lelaki sedang berlari ke arah bertentangan dari Jalan Tarian 11/2 sambil beberapa anggota polis mengejar dan menjerit jangan lari,” katanya di Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Dia yang memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-15 juga memberitahu, melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan kepala tersembam di tempat duduk pemandu manakala badan dan kakinya pula terkeluar dari pintu kereta Proton Iswara berwarna putih.

“Pada waktu itu, saya tidak tahu identiti mayat. Tapi, pada keesokan harinya, saya tahu dia adalah adik kepada kawan saya yang bernama AminulRasyid. Saya memang kenal dia dan keluarganya.

“Dia menetap di Jalan Mak Yong dan jarak antara tempat kejadian dan rumah adalah kira-kira 20 meter,” katanya pada pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Zafrullah juga memberitahu, dia tidak mengetahui apa yang berlaku kepada lelaki yang melarikan diri itu.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-14, Lans Koperal Shamsul Kamar Ismail,48, yang memandu salah satu kereta peronda memberitahu, kereta Iswara dengan nombor pendaftaran BET 5023 dipandu dengan sangat laju dan melulu.

“Kereta itu juga tidak berhenti walaupun kereta peronda memasang lampu biru dan siren yang kuat,” tambahnya dan berkata keadaan semasa itu adalah cemas.

Orang awam yang mengikuti prosiding juga tidak dapat menahan ketawa apabila saksi yang disoal oleh peguam Salim Bashir menjawab, kereta tersebut tidak melanggar dua lampu isyarat yang terdapat di Bulatan Kayangan.

Salim: Maksud kamu, apabila lampu merah, kereta itu berhenti dan peronda ikut berhenti? Bila hijau mula kejar semula?

Shamsul:Tidak, maksud saya kereta tidak langgar lampu isyarat, tapi hanya lalu sahaja.

Salim: Saya tidak maksudkan melanggar tiang lampu isyarat, tapi melanggar lampu isyarat.

Shamsul: Kalau begitu, saya setuju ia melanggar lampu isyarat.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Selasa depan, dan mahkamah dijadualkan melawat tempat kejadian untuk mendapatkan gambaran mengenai lokasi terbabit.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan