Pembunuhan Banting: Peguam, 3 Lelaki Dituduh Bunuh Sosilawati

Diterbitkan: Rabu, 13 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Seorang peguam, N.Pathmanabhan dan tiga lagi didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Rabu, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik dan tiga lagi individu yang didakwa hilang bersama beliau.

Pathmanabhan, 41, yang merupakan suspek utama dalam kejadian itu didakwa bersama tiga pekerja ladang, iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Kathavarayan, 30.

Semua mereka tiba di mahkamah pada pukul 8.20 pagi dalam keadaan dikawal rapi dan dibawa masuk untuk mendengar pertuduhan pada pukul 9 pagi.

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam bahasa Malaysia manakala bakinya dibuat dalam bahasa Tamil.

Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding yang berlangsung di hadapan Majistret Hurman Hussain, tetapi semua tertuduh menganggukkan kepala sebagai tanda faham akan pertuduhan terhadap mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengetuai barisan pendakwaan memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi pihaknya mengemukakan dokumen yang berkaitan.

“Pihak kami memerlukan masa kerana masih menunggu laporan kimia disiapkan,” katanya yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani.

Hurman menetapkan 16 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, Pathmanabhan yang merupakan suspek utama kehilangan pengasas produk Novalles Visages itu diwakili peguam-peguam Ravi Nekoo, Amer Hamzah Arshad, Puspha Ratham dan Datuk Ng See Teong.

Terdahulu, Amer Hamzah turut membuat pengesahan bahawa mereka tidak mewakili Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan. Beliau juga membuat permohonan untuk berjumpa anak guamnya.

“Tertuduh telah direman lebih daripada sebulan yang lalu dan peguam hanya diberikan laluan terhad untuk berjumpa tertuduh termasuklah pada prosiding reman,” katanya.

Beliau juga membuat permohonan sama untuk tiga lagi tertuduh bagi membolehkan pihaknya memberi nasihat kepada tertuduh untuk meminta keluarga mereka melantik peguam pada perbicaraan kelak.

“Peguam tidak boleh berjumpa secara terus dan menawarkan perkhidmatan kami,” katanya memandangkan perbuatan itu adalah menyalahi etika guaman.

Hurman membenarkan permohonan itu dengan tempoh masa 10 minit untuk setiap tertuduh.

Sementara itu, Ravi Nekoo yang ditemui di luar mahkamah disoal berhubung nasib adik kepada Pathmanabhan yang turut ditahan sebagai suspek sejak 9 September lalu.

“Perkembangan terbaru, kami dimaklumkan oleh polis bahawa adik Pathmanabhan tidak akan didakwa di mahkamah dan akan dibebaskan, bagaimanapun, kami tidak diberitahu bila,” jawabnya.

Amer Hamzah juga memberitahu pihaknya masih belum membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak semakan yang dikemukakan oleh dua peguam adik-beradik dan seorang suspek terhadap perintah lanjutan reman yang diperoleh oleh polis.

Permohonan itu ditolak pada Selasa oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Perkarangan mahkamah dipenuhi dengan pihak media yang telah menunggu seawal pukul 7 pagi selepas berita bahawa suspek kes pembunuhan Sosilawati akan didakwa pada Rabu.

Beberapa orang awam juga mula menghampiri persekitaran mahkamah bagi melihat sendiri perkara yang berlaku.

Bagaimanapun, tiada ahli keluarga tertuduh berada di mahakmah dan menurut Amer Hamzah, keluarga tertuduh tidak dimaklumkan mengenai prosiding hari ini.

Semua tertuduh bertolak keluar daripada mahkamah pada pukul 10.10 pagi.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan Sosilawati bersama mangsa yang lain pada 30 Ogos lalu selepas dikatakan pergi ke Banting untuk bertemu seorang peguam berhubung urusan pembelian tanah. Pada 6 September, dua kereta iaitu BMW X5 dipercayai milik Sosilawati, ditemui di tempat letak kereta Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW 5 series milik Ahmad Kamil pula dijumpai berhadapan sebuah rumah teres yang terletak berhampiran sebuah hotel di sini.

Misteri kehilangan keempat-empat individu terbabit terungkai pada 12 Sept apabila pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu sidang akhbar, mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan