Bapa Tension Gigit Anak Umur 3 Bulan

Diterbitkan: Rabu, 13 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: "Saya geram, saya tension, saya gigit anak saya", kata seorang bapa semasa merayu di Mahkamah Majistret Kajang hari ini supaya dikenakan hukuman ringan selepas mengaku mendera anak perempuannya yang berumur tiga bulan.

M. Zaire Zulkapli, 24, dari Jempol, Negeri Sembilan, memberitahu mahkamah dia bertengkar dengan isterinya selepas wanita itu enggan memenuhi permintaannya supaya mengisi air dalam botol.

Ditanya Majistret A. Akhiruddin mengapa dia sendiri tidak mengisi air ke dalam botol, tertuduh yang juga seorang peniaga, hanya berdiam diri.

Ketika merayu hukuman ringan, Zaire memohon maaf atas perbuatannya itu. Akhiruddin kemudian menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan ke atas tertuduh, yang berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 Okt lalu.

Zaire didakwa menganiaya dan mendera Noor Hafizah Ezaty sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi di rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, pada 7 malam, 29 September tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun, Noor Hafizah dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad kritikal untuk pemeriksaan selepas bapa saudara bayi itu menyedari anak bongsu pasangan berkenaan menangis berterusan di pangkuan ibunya.

Pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu mengalami pendarahan di bawah mata kanannya, kesan gigitan di bahagian kaki kiri dan kanan serta bengkak di pipi kanan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan