Aminulrasyid Mati Di Tempat Kejadian: Saksi

Diterbitkan: Rabu, 13 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa remaja 15 tahun yang didakwa ditembak mati oleh seorang anggota polis, didapati meninggal dunia di tempat kejadian.

Muhamad Sahid Abdul Karim, 30, yang bertugas di Unit PraPenjagaan Hospital Bahagian Perkhidmatan Ambulans 999 di hospital itu berkata, beliau tiba di tempat kejadian pada 2.23 pagi dan mengesahkan kematian remaja itu selepas melakukan beberapa pemeriksaan terhadapnya.

Saksi ke-sembilan pendakwaan itu berkata, beliau menerima satu panggilan dari pusat talian (call centre) yang menyatakan ada satu kes kemalangan di mana sebuah kereta terbabas selepas melanggar sebatang pokok.

"Pada hari kejadian, saya sedang bertugas kemudian telah menerima panggilan pada 2.02 pagi yang menyatakan satu kemalangan telah berlaku di Jalan Makyong Seksyen 11, di sebuah kawasan perumahan.

"Bagaimanapun, saya gagal menjumpai tempat itu dan terpaksa menghubungi semula call centre untuk bertanya alamat tepat di mana tempat itu berlaku," katanya pada perbicaraan Koperal Jenain yang didakwa menyebabkan kematian Aminul Rasyid Amzah pada 26 April lepas.

Jenain, 48, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar hari ini, Muhamad Sahid berkata ketika beliau dan seorang lagi pembantunya sampai ke tempat kejadian, mayat remaja itu terbaring tertiarap di luar kereta dengan kakinya lurus selain kepalanya berada di tempat pemandu.

"Saya periksa keadaan mangsa menggunakan lampu suluh kecil ke arah mata mangsa yang ketika itu memakai seluar pendek dan berbaju-T selain menggunakan steteskop.

"(Dalam) pemeriksaan yang dilakukan selama 20 minit itu, saya mendapati tiada kesan denyutan nadi dan pernafasan juga tiada dan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau dihalang oleh anggota polis yang sedang mengawasi keadaan di situ untuk melihat keadaan mangsa dengan lebih terperinci selepas melihat pada sarung tangannya ada kesan darah.

"Ketika saya hendak menyelak baju mangsa untuk pemeriksaan lain, saya memegang dahinya bagaimanapun sebelum sempat hendak memusingkan badan mangsa, seorang anggota polis melarang daripada mengubah posisi badan mangsa.

"Saya ada bertanya mengenai pengenalan diri mangsa daripada anggota polis yang mengawasi tempat itu bagaimanapun polis berkenaan hanya berkata: 'Apa-apapun tunggu pegawai penyiasat sampai'," katanya.

Muhamad Sahid berkata keadaan di situ telah dipasang garisan kuning oleh polis yang bertugas.

Beliau berkata daripada pemerhatiannya, mangsa adalah seorang remaja dan kematiannya dimaklumkan kepada polis sebelum meninggalkan kawasan itu tanpa membawa mayat mangsa.

"Saya tidak dapat mengecam wajah mangsa kerana pada masa itu saya tidak melihatnya selepas dihalang oleh polis tetapi saya boleh mengecamnya berdasarkan tempat kejadian, mangsa adalah seorang lelaki juga berdasarkan betis dan badan mangsa," jelasnya.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-10 iatu Sarjan Mohd Sani Mohd Hassan yang merupakan Ketua Cawangan persenjataan IPD Shah Alam memberitahu bahawa Jenain mahir menggunakan submesin-gan Heckler & Koch MP5.

Mohd Sani menyatakan demikian berdasarkan markah yang diperolehinya ketika tertuduh bersama dua lagi anggota menghadiri latihan menembak selama dua hari pada 13 dan 15 Mei lepas yang menunjukkan Jenain memperoleh 90 markah daripada 100 untuk senjata submesin-gan manakala 70 untuk latihan pistol.

"Berdasarkan markah ini, saya membuat rumusan bahawa Jenain adalah ahli penembak," katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan Sarjan Jamaluddin Alias, 50, dari IPD Shah Alam mengesahkan setiap anggota peronda dibenarkan membawa senjata mesin-gan dan jika tidak membawanya ia adalah satu perlanggaran arahan.

Beliau yang bertanggungjawab menyediakan jadual tugas rondaan pada malam Aminulrasyid terbunuh, berkata semua anggota termasuk Jenain turut menghadiri taklimat selama setengah jam sebelum keluar bertugas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar manakala Jenain diwakili peguam bela A. Athimulan.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan