Sheila Tidak Pernah Beri Arahan Untuk Sedia Laporan Kewangan

Diterbitkan: Jumaat, 8 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang akauntan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pelakon Sheila Rusly yang juga rakan kongsi kepada ahli perniagaan, Datuk Azlina Che Abdullah, tidak pernah memberi arahan kepadanya untuk menyediakan laporan kewangan perniagaan Restoran Nasi Dagang House.

Azmi Awang, 39, saksi ketujuh dan terakhir pihak defendan berkata Sheila tidak pernah memberi arahan sedemikian dan sebaliknya beliau menerima arahan itu daripada penyelia di restoran tersebut yang dikenali sebagai Azmi.

"Saya tidak pernah menerima apa-apa arahan daripada Sheila sepanjang saya menyediakan laporan kewangan itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam A.Krishnakumar yang mewakili Sheila pada perbicaraan kes saman pelakon itu yang menuntut semula modal sebanyak RM55,000 daripada Azlina yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu.

Bagaimanapun, Azmi, seorang akauntan dari Muaz & Co turut menafikan bahawa beliau menerima arahan untuk menyediakan laporan kewangan itu daripada Azlina, sebaliknya memberitahu bahawa setiap butiran mengenai laporan itu diberitahu oleh Azmi, selaku penyelia di Restoran Nasi Dagang House.

Kepada soalan lain, Azmi juga bersetuju dengan cadangan Krishnakumar bahawa jumlah wang RM67,708.05 adalah jumlah yang tidak boleh dibuktikan dibayar oleh Azlina selaku defendan seperti yang terdapat dalam laporan ledger am.

"Tiada bukti yang menunjukkan Azlina membuat pembayaran sebanyak RM67,708.05 kerana di dalam invois yang saya peroleh tidak dinyatakan siapa yang membuat bayaran dan untuk apa bayaran itu dibuat. Kita juga tidak tahu sama ada bayaran itu dibuat untuk perniagaan restoran atau sebaliknya," katanya.

Terdahulu, ketika disoal oleh peguam Mohd Firuz Jaffril yang mewakili Azlina sama ada laporan kewangan yang disediakannya adalah satu laporan yang adil, Azmi menjawab: "Ya, kerana beliau telah merujuk dokumen-dokumen yang diberikan oleh Azmi ketika laporan itu disediakan".

Ketika disoal Mohd Firuz apakah rujukan yang dibuat oleh Azmi dalam penyediaan laporan itu, beliau memberitahu bahawa beliau merujuk kepada dokumen-dokumen yang telah diserahkan kepadanya untuk membuat laporan itu dan juga berdasarkan makluman yang telah diberikan oleh Azmi.

"Antara dokumen yang telah diserahkan kepada saya adalah resit-resit pembelian barang-barang, resit pembayaran sewa, buku cek yang telah digunakan dan invois-invois.

"Saya juga tidak membuat apa-apa pengesahan bagi setiap dokumen itu dan hanya membuat rujukan sahaja," katanya.

Hakim Datuk Lim Yee Lan kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak plaintif dan defendan mengemukakan hujahan bertulis dan menetapkan 23 Disember depan untuk keputusan kes itu.

Pada 21 Januari 2006, Sheila menyaman Azlina kerana melanggar perjanjian perkongsian lisan yang dibuat oleh Azlina berhubung Restoran Nasi Dagang House, yang menyajikan masakan dari pantai Timur.

Dalam saman itu, Sheila menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu, keuntungan perniagaan itu dari tempoh 1 September hingga 30 September 2005, kehilangan keuntungan masa depan, ganti rugi am akibat pelanggaran kewajipan, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mengikut perjanjian perkongsian lisan, Sheila mendakwa beliau dikehendaki mempromosikan perniagaan restoran itu melalui rancangan televisyen dan kalangan kenalan artis serta orang ramai, manakala Azlina bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan resepi dan masakan utama restoran itu.

Pada 30 September 2005, Sheila, yang pergi ke restoran itu mendapati restoran berkenaan telah ditutup dan pada 2 Okt 2005, beliau mendapati sebuah restoran lain yang diberi nama restoran Nasi Dagang Ulik Mayang dibuka di premis bersebelahan dengan restorannya.

Azlina dalam pernyataan pembelaannya mendakwa kegagalan restoran itu antara lain disebabkan kegagalan Sheila menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakan kongsi dan kegagalan beliau juga untuk meneruskan operasi restoran itu semasa gilirannya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan