Penolong Pengarah Dipenjara 4 Tahun, Denda RM300,000 Kerana Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 8 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang Penolong Pengarah (Unit Teknoloji Maklumat) Jabatan Pendidikan Khas, hari ini dikenakan hukuman penjara empat tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan aktiviti pengubahan wang haram dan tiga tuduhan rasuah, enam tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman ke atas Kamarulzaman Mahayiddin, 51, selepas pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata selepas meneliti keterangan pihak pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan.

Rosbiahanin juga menolak permohonan peguam tertuduh Zainal Omar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Kamarulzaman didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menggunakan cek RM160,653 bagi membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover di kedai Kim Sang Used Car, Lot 146,147 Jalan Pudu di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank Berhad, 58-60, Jalan Bukit Bintang di sini antara 1 dan 2 Mac 2004, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Bagi pertuduhan kedua, Kamarulzaman didakwa menerima cek Bumiputra Commerce Bank bertarikh 1 Mac 2004 bernilai RM160,653 daripada Pengurus Besar Syarikat SJA Trade & Services Sdn Bhd iaitu Sulaiman Ab Rahman yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dengan memberikan syarikat itu kerja-kerja membekal aplikasi untuk Rancangan Pendidikan Individu (RPI).

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima tiket penerbangan pergi dan balik Kuala Lumpur/Sdyney/Kuala Lumpur dari 28 September hingga 1 0ktober 2003 bernilai RM1,338 daripada Sulaiman.

Kamarulzaman didakwa melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 28 September 2003.

Manakala bagi pertuduhan keempat, Kamarulzaman didakwa menerima tiket penerbangan pergi dan balik Kuala Lumpur/Singapura/ Frankfurt/London/ Frankfurt/ Kuala Lumpur dari 9 Mac hingga 17 Mac 2004 bernilai RM3,099 daripada Sulaiman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di KLIA pada 9 Mac 2004.

Pendakwaan bagi tuduhan pengubahan wang haram dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman manakala bagi pertuduhan rasuah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghafar Ab Latif. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan