Eksport 95 Ular: Rayuan Pendakwaan Didengar 29 Oktober

Diterbitkan: Jumaat, 8 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Jumaat, menetapkan 29 Oktober ini untuk mendengar rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan terhadap seorang ahli perniagaan yang telah dihukum atas kesalahan mengeksport 95 ekor ular berbahaya tanpa permit.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Seri Muhammad hafee Abdullah yang mewakili Anson Wong Keng Liang memohon penangguhan atas alasan belum meneliti rekod rayuan.

Muhammad Shafee memberitahu, beliau baru menerima rekod tersebut pada Khamis dan memerlukan masa untuk menelitinya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar bagaimanapun membantah permohonan penangguhan itu.

“Saya juga baru menerima rekod rayuan pada Rabu, tetapi saya boleh menyediakan hujahan dalam masa singkat. Saya menyerahkannya kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” tambahnya.

Mohtarudin yang bersetuju dengan alasan kepentingan awam yang diberikan oleh Mohd Dusuki bagaimanapun berkata, hak tertuduh juga perlu dipelihara.

“Demi keadilan, saya akan membenarkan penangguhan yang merupakan penangguhan kali terakhir,” katanya.

Pada prosiding itu, Anson, 52, hadir dengan memakai baju seragam penjara berwarna merah dan berkepala botak serta dikawal rapi oleh pegawai penjara.

Dalam kes ini, pihak pendakwaan memfailkan rayuan itu selepas tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Zulhelmy Hasan terhadap Anson pada 6 September lalu.

Anson dihukum penjara enam bulan dan diarahkan membayar denda RM190,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku salah mengeksport ular Boa Constrictor tanpa permit yang sah.

Anson telah membayar denda tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.50 malam,26 Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini.

Ular-ular tersebut ditemui dalam bagasi milik Anson yang semasa itu dalam transit dari Pulau Pinang ke Jakarta, Indonesia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan