Peguam Tidak Hadir 10 Kali Perbicaraan Kesnya

Diterbitkan: Rabu, 6 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes peguam yang menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek RM120,000 yang tertangguh kerana ketidakhadirannya sebanyak 10 kali, akan diteruskan tanpa kehadirannya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azizah Mahamud menetapkan 4 Nov ini sebagai tarikh akhir perbicaraan kes itu.

Beliau berkata mahkamah akan memulakan perbicaraan kes itu walaupun tanpa kehadiran tertuduh Md Madzhar Mohd Sapuan mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah.

Azizah berkata tertuduh tidak hadir sebanyak 10 kali pada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan yang mana setiap kali perbicaraan, dia akan mengemukakan sijil sakit kepada mahkamah.

"Ini tarikh akhir dari mahkamah. Mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes walaupun tanpa kehadiran tertuduh. Kes ini kes tahun 2005 lagi, saya tidak mahu ianya ditangguhkan lagi. Kamu beritahu anak guam kamu supaya hadir pada tarikh akan datang," Azizah memberitahu peguam Dr Mohd Radzuan Ibrahim yang mewakili Md Madzar.

Md Madzar, 48, yang digantung daripada menjalankan amalan guamannya sejak 1999, tidak hadir pada perbicaraan yang telah ditetapkan bermula pada 3 Dis 2007 atas alasan sakit.

Terdahulu Mohd Radzuan menyerahkan sijil cuti sakit dari Cheras Medical Centre yang menyatakan anak guamnya telah dimasukkan ke hospital itu sejak semalam kerana menghidapi 'upper respiratory tract infection' dan diberikan cuti sakit bermula 4 hingga 6 Okt dan dinasihatkan berehat di rumah selama seminggu.

Beliau berkata anak guamnya itu tidak mempunyai niat untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut yang ditetapkan bermula semalam hingga Jumaat ini.

Mohd Radzuan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau kemungkinan akan menarik diri daripada mewakili anak guamnya sekiranya mahkamah meneruskan perbicaraan kes tanpa anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaizah Zakaria yang mewakili pihak pendakwaan berkata saksi pendakwaan bersedia dengan perbicaraan kes itu.

Pada 6 Jan 2005, Md Madzhar, didakwa pecah amanah sekeping cek Bumiputra Commerce berjumlah RM120,000, berhubung pembelian sebuah rumah semasa menjadi agen kepada seorang doktor Abdul Rahman Samion, yang merupakan saudaranya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Suite FGH, Level 17 Bangunan Angkasaraya Jalan Ampang di sini di antara 28 Nov 2000 dan 19 Dis 2000.

Pada 12 Ogos 2008, Md Madzar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Baharu terhadap pertuduhan pecah amanah cek dan wang tunai berjumlah RM158,000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan