Orang Asli Bukit Tampoi Dapat Pampasan RM6.5 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menasihatkan 26 keluarga Orang Asli Temuan di Bukit Tampoi, Dengkil, yang menerima pampasan RM6.5 juta selepas tanah adat mereka diambil untuk membina Lebuhraya Nilai-Banting ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 15 tahun lalu, supaya menyimpan wang tersebut.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menasihatkan supaya wang itu disimpan ke dalam Amanah Saham Nasional Bumiputera (ASNB) untuk kebaikan generasi akan datang, disamping mengelakkan wang yang diperolehi habis dibelanjakan.

“Kita bukan mahu menahan wang milik kamu tetapi kamu perlu ingat bahawa wang ini bukan untuk diri kamu. Tetapi ia adalah wang tanah warisan untuk cucu cicit kamu.

“Apabila dah dapat wang, jangan belanjakan sehingga habis, kalau boleh beli tanah dan melabur. Kalau digunakan beli kereta, tidak berguna,” katanya.

Nurchaya juga menasihatkan supaya Orang Asli terbabit hanya mengambil wang segera RM1,000 manakala bakinya dimasukkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Kemudian, dalam tempoh 30 hari kamu fikirlah masak-masak dan selepas itu kalau kamu nak keluarkan juga wang, kamu hanya keluarkan separuh sahaja manakala separuh lagi mesti disimpan untuk generasi akan datang," tambahnya.

Nurchaya juga memutuskan bahawa daripada jumlah RM6.5 juta, sebanyak RM5,956,600 akan diberikan kepada pihak ASNB yang mana wang tersebut akan dibahagikan kepada setiap keluarga mengikut bahagian masing-masing.

Baki wang pampasan berjumlah RM543,400 pula akan diberikan kepada masyarakat Orang Asli Temuan untuk kegunaan pembinaan balai adat yang baru (RM95,200), tabung amanah untuk generasi warisan (RM307,300), saguhati untuk tapak rumah (RM97,500) dan duit tabung Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berjumlah RM43,400.

Prosiding dihadiri hampir 50 anggota keluarga Orang Asli Temuan yang memakai destar di bahagian kepala bersama peguam Jerald Gomez dan Valerie Chong yang membantu mahkamah, penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli, Dr Colin Nicholas dan ketua ASNB bahagian Shah Alam Razali Mohd Zain.

Pada 26 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan mencatatkan satu terma perjanjian penyelesaian antara Orang Asli Temuan dan pihak-pihak berkenaan, kerajaan persekutuan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan kontraktor, United Engineers (M) Bhd (UEM) dengan LLM bersetuju membayar RM6.5 juta kepada Orang Asli untuk kes itu diselesaikan sepenuhnya.

Jumlah pampasan tersebut diberikan kepada tujuh responden dalam kes itu serta individu yang tinggal di kawasan yang terlibat. Mahkamah Persekutuan juga membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili kerajaan untuk menarik balik rayuan kerajaan, LLM dan UEM terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengisytiharkan bahawa tanah itu milik Orang Asli kerana ia merupakan tanah turun-temurun.

Pada April 1996, tujuh Orang Asli, memfailkan saman itu terhadap kerajaan persekutuan, kerajaan Selangor, LLM dan UEM mengenai 38 ekar tanahnya yang diambil untuk membina Lebuhraya Nilai-Banting ke KLIA pada 1995, bagi kerugian tanah dan tempat tinggal mereka.

Mereka ialah Sagong Tasi, Kachut Tunchit, Dabat Chabat, Kepal Kepong, Sani Saken, Ilas Senin, dan Tok Batin, Tukas anak Siam. Semasa prosiding sedang berjalan, tiga daripada tujuh individu tersebut, iaitu Tunchit, Senin, Kachut dan Tukas Siam telah meninggal dunia. Pada 2002, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengisytiharkan bahawa tanah itu milik Orang Asli berkenaan kerana ia adalah tanah adat dan turun temurun dan Mahkamah Rayuan mengekalkan rayuan itu pada 2005.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan