Kes Curi Enjin: Sarjan TUDM Kemuka Permohonan Notis Usul Soal Balas Dua Mejar

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N.Tharmendran yang menghadapi tuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5, hari ini mengemukakan permohonan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini untuk menyoal balas dua Mejar TUDM berhubung dakwaan penyeksaan yang dialaminya semasa dalam tahanan.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua mejar itu ialah Pegawai Staf 1 Siasatan di Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM, Mejar Ismail Omar dan Pegawai Staf 2, Mejar Norazan Md Amin.

Beliau berkata permohonan itu penting berikutan wujudnya percanggahan berhubung dakwaan seksaan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak guamnya dengan Norazan dan Md Amin.

"Persoalannya, siapakah yang bercakap benar? Kebenaran ini hanya boleh diketahui jika kedua-dua Mejar itu dipanggil ke mahkamah untuk disoal balas," katanya.

Sebelum ini, Tharmendran mendakwa pasukan penyiasat TUDM telah menderanya secara fizikal bagi mendapatkan pengakuan bersalah daripadanya.

Dalam afidavitnya, tertuduh selaku pemohon mendakwa dia telah diseksa dan dakwaan tersebut disokong oleh rakannya, Intan Yusof, 46, yang mendakwa melihat kejadian seorang tahanan diseksa semasa melawat tertuduh di penjara.

Norazan dan Md Amin dalam afidavit mereka pula menafikan dakwaan bahawa mereka yang melakukan perbuatan itu.

Latheefa juga berkata keputusan berhubung permohonan notis usul itu penting bagi permohonan utama pihaknya iaitu untuk menggantung atau membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat yang dikenakan ke atas anak guamnya.

"Dakwaan yang dibuat adalah sangat serius dan menjejaskan secara langsung prosedur dan sistem jenayah negara ini. Maka untuk tujuan intergriti sistem tersebut, penting untuk kita mendapatkan kebenaran menerusi soal balas," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof yang mewakili responden membantah permohonan itu dengan alasan soal balas boleh dilakukan pada perbicaraan kelak.

Beliau berkata sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut ia akan menyukarkan pihaknya kerana mereka yang berpotensi sebagai saksi akan dipanggil sebanyak dua kali.

"Ini diburukkan lagi apabila pemohon tidak menyatakan secara spesifik bahagian yang ingin disoal balas," katanya.

Ishak turut merujuk kepada afidavit yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir bertarikh 22 Sept lepas yang menyatakan bahawa dakwaan diseksa tidak mempengaruhi pertuduhan terhadap Tharmendran.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad kemudian menetapkan 29 Okt ini untuk membuat keputusan bagi membolehkan beliau melakukan penyelidikan terlebih dahulu.

Tharmendran hadir di mahkamah bersama bapanya, N. Nagarajah, 71, kerana telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Pada 6 Jan lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan