15 Oktober Perbicaraan Pelatih Merusuh Di Pusat Serenti

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 15 Oktober ini untuk perbicaraan 29 pelatih Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang membuat rusuhan di pusat berkenaan pada 19 Jun tahun lepas.

Hakim Mohd Zairan Aman menetapkan tarikh itu setelah dimaklumkan bahawa kesemua tertuduh baru melantik peguam Y. Anbananthan dan K. Paramanathan bagi mewakili mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru kerana kes itu akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya lain.

Kesemua pelatih dituduh menyertai satu perhimpunan haram dengan tujuan bersama-sama melakukan khianat dengan menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan tujuh blok bangunan meliputi blok bangunan pentadbiran, stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6.40 petang, 19 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Ketika kejadian, dilaporkan lebih 100 daripada 522 pelatih di pusat serenti itu bertindak ganas dengan membakar beberapa bangunan termasuk blok pentadbiran dan membakar kenderaan milik petugas pusat berkenaan, dipercayai akibat rasa tidak puas hati ekoran penahanan sekumpulan rakan mereka yang didapati positif dadah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan