Lelaki Sebabkan Kematian Kekasih Dipenjara 25 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 30 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Hasrat seorang wanita untuk memutuskan hubungan dengan kekasihnya membawa padah selepas dia mati dalam keadaan tragis dengan 36 kesan kecederaan di seluruh badan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa, M. Indra Devi, 22, sempat menghubungi polis apabila melihat teman lelakinya, G. Selvaraaj, 26, cuba memecah masuk ke dalam rumah dalam keadaan mabuk.

Mangsa sedaya upaya cuba menyelamatkan diri dengan mengunci pintu bilik selepas Selvaraaj telah memecah masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil pintu geriji dan membuka pintu menerusi cermin tingkap yang dipecahkan.

Mangsa yang meronta-ronta kemudiannya diseret ke bahagian dapur di mana Selvaraaj telah menggunakan sebilah pisau yang berada di atas sinki untuk menikam mangsa berkali-kali.

Bedah siasat yang dilakukan mendapati mangsa mati akibat pendarahan berganda yang banyak disebabkan tikaman berganda di dada. Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan di leher dan abdomen.

Jiran mangsa, Supramaniam yang datang ke tempat kejadian kerana mendengar jeritan mangsa, melihat Selvaraaj sedang menangis dalam keadaan memangku mangsa yang terbaring.

Seorang anggota polis yang datang ke tempat kejadian pula melihat Selvaraaj sedang menikam dirinya dengan menggunakan pemutar skru. Setelah dipujuk, dia akhirnya memberi kunci rumah kepada polis sebelum ditangkap.

Pada Khamis, Selvaraaj menerima balasan atas perbuatan itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun terhadapnya yang mengaku salah menyebabkan kematian Indra Devi.

Hukuman diarahkan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Pada penghakimannya, Mohtarudin menyifatkan tertuduh sangat bernasib baik kerana telah ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan berbanding dengan tuduhan asal ,iaitu membunuh.

“Sekiranya kes berjalan penuh dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan fakta kes, mana-mana hakim tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman mati kerana fakta menunjukkan kamu sangat liar dan betapa seksanya mangsa sebelum menemui ajal.

“Daripada kecederaan, jelas kamu mempunyai niat untuk membunuh,” katanya dan menambah tertuduh perlu diasingkan daripada masyarakat untuk tempoh yang panjang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 3.30 dan 4.30 pagi, 6 Januari 2008 di rumah nombor 47, Jalan Sungai Kapar Indah 9, Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Roslan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam usaha mengurangkan hukuman, peguam K. Renuka Devi memaklumkan mahkamah bahawa kejadian berlaku semasa tertuduh yang hanya tamat tingkatan tiga pergi ke rumah itu untuk memujuk kembali mangsa.

“Mangsa telah hilang kawalan diri dan berada dalam keadaan yang terlalu mabuk,” katanya. Tertuduh juga merupakan penanggung tunggal keluarga yang terdiri daripada seorang ibu dan lima beradik.

Ahmad Kamal pula menghujahkan bahawa perbuatan tertuduh telah menyebabkan kehilangan satu nyawa yang tidak berdosa dalam keadaan yang amat kejam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan