‘Jutawan’ Lubnan Meringkuk Di Penjara

Diterbitkan: Khamis, 30 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lelaki yang mendakwa dirinya seorang ‘Jutawan’ berasal daripada Lubnan, Elie Yousseff Najem kini sedang meringkuk di penjara.

Pegawai Pedakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Hanifah Haydar Ali Takuddin memaklumkan perkembangan terbaru lelaki tersebut pada prosiding khalwatnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Menurut Hanifah, ketidakhadiran Elie, 51, pada prosiding Khamis, adalah disebabkan berlaku salah faham berhubung tarikh sebutan yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Elie sekarang berada di penjara. Oleh itu saya memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk mengemukakan tertuduh bagi diserahkan kepada pihak penjara supaya tertuduh hadir di mahkamah,”katanya.

Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif menetapkan kes disebut semula pada 4 November depan di hadapan seorang lagi Hakim syarie, Mohd Amran Mat Zain.

Dalam kes ini, Elie didakwa berkhalwat bersama seorang wanita tempatan, Roslin Tahir, 49, pada pukul 3.45 pagi, 27 April lalu di bilik 8804, tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields, di sini.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain kes khalwat, Elie juga berhadapan dengan satu lagi tuduhan iaitu berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk serta menggunakan sindiket untuk berkahwin dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd Farid.

Pasangan itu berkahwin pada 6 Oktober 2005 dan disahkan bercerai selepas mahkamah membenarkan permohonan fasakh oleh Farinnie, 24, pada 29 April lalu. Mereka dikurniakan anak, Prince-Kovadis Yousseff Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2 tahun.

Bagi kesalahan itu, Elie didakwa mengikut Sekyen 40(2) yang dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pada 13 Ogos lalu, dia yang pernah menggemparkan negara kerana hasratnya mahu mendermakan RM1.03 bilion negara kepada Majlis Kanser Negara (MAKNA) pada 2008 dihukum penjara selama enam tahun dan lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Mohd Azli Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas menyabitkan Elie bersalah atas dua pertuduhan menipu dan menyalahguna pas lawatan untuk bekerja sebagai seorang pengarah syarikat.

Elie didakwa menipu Tan Sim Chai supaya meminjamkan wang dengan dakwaan akan membayar semula apabila memperoleh wang dari luar negara bernilai 2.6 juta pound sterling (kira-kira RM12 juta).

Perbuatannya itu telah menyebabkan Tan menyerahkan sembilan keping cek bernilai RM22,000 pada pukul 10 malam, 12 September 2005 dan juga RM13,000 pada pukul 11 malam, keesokan harinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Elie juga dihukum penjara lima bulan bagi kesalahan menyalahguna pas lawatan dengan bekerja sebagai pengarah syarikat di tempat yang sama, pukul 4.30 petang, 21 September 2005.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan