Pemandu Teksi Bunuh Syafiah Humaira Dihukum Mati

Diterbitkan: Khamis, 23 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohd Fazli Azri (tengah) dibawa ke lokap mahkamah selepas tamat prosiding. Foto: THE STAR/IBRAHIM MOHTAR
Mohd Fazli Azri (tengah) dibawa ke lokap mahkamah selepas tamat prosiding. Foto: THE STAR/IBRAHIM MOHTAR

SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil menerima 'hadiah ulang tahun kelahiran' paling memilukan apabila dia dihukum gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Syafiah Humaira Sahari pada Februari lalu.

Ironinya, hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mokhtarudin Baki pada Rabu, serentak dengan ulang tahun kelahiran ke-28 Mohd Fazli Azri yang merupakan teman lelaki ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25, seorang bekas pelayan kelab malam.

Pada penghakimannya, Mokhtarudin merumuskan bahawa pembelaan tertuduh tanpa bersumpah dari kandang pesalah yang diuji bersama keterangan saksi pendakwaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Secara keseluruhan beliau mendengar keterangan 33 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Mokhtarudin menolak dakwaan tertuduh bahawa kecederaan Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan, adalah disebabkan terjatuh dalam keadaan tidak memakai topi keledar daripada motosikal kerana tersentak bonggol selepas keterangan dua doktor termasuk Pakar Perunding Kanan Forensik, Dr Shahidan Mohd Noor mengatakan kecederaan itu tidak selari dengan dakwaan tersebut.

Bagi dakwaan kepala Syafiah Humaira yang manja dengan panggilan ‘Pia’ cedera kerana terhantuk dinding tandas pula, Mokhtarudin berkata, perkara itu tidak pernah diberitahu oleh tertuduh kepada mereka yang mengenali dirinya.

Beliau turut menolak dakwaan tertuduh bahawa dia tidak mengingati kejadian di padang bola kerana khayal dan lalok akibat ganja dan dua botol minuman keras Guiness Stout. Berdasarkan keterangan empat saksi remaja, mereka melihat tertuduh telah menendang dan memijak perut Syafiah Humaira dengan menggunakan kasut bola.

“Saksi-saksi tidak disoal balas sekiranya kelakuan tertuduh adalah konsisten dengan pelakuan orang mabuk. Saksi jelas melihat tertuduh adalah waras. Fakta bahawa tertuduh memandu teksi dari rumah ke padang bola dan pulang semula ke rumah jelas tidak konsisten dengan orang mabuk,” ujar Mokhtarudin.

Mengenai hujahan peguam Gurbachan Singh supaya tuduhan membunuh diturunkan kepada tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, Mokhtarudin bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa nas-nas undang-undang yang dikemukakan oleh peguam itu berbeza faktanya dengan kes tertuduh.

“Kes yang dirujuk peguam melibatkan orang dewasa yang mempunyai ketahanan fizikal berbeza daripada seorang kanak-kanak seperti dalam kes ini. Kes yang dirujuk juga mempunyai unsur pergaduhan yang mana, dalam kes ini tiada unsur provokasi.

“Perbuatan tertuduh menghempas pintu teksi sehingga terkena kepala, menendang dan memijak perut Syafiah Humaira dengan menggunakan kasut bola tidak boleh diterima dalam menunjukkan tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh,” tambah Mokhtarudin.

Justeru itu, beliau memutuskan tertuduh bersalah seperti pertuduhan iaitu membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mokhtarudin juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan peguam atas kerjasama yang diberikan sehingga kes dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tujuh bulan.

Syafiah Humaira adalah anak kedua Siti Nurhanim, hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan membunuh. Anak sulung mereka bernama Shafiq Haikal.

Siti Nurhanim juga mempunyai seorang lagi anak, Shakimie Iqbal bersama tertuduh.

Walaupun baru dijatuhkan hukuman paling berat itu, Mohd Fazli Azri masih mampu tersenyum, berbeza dengan ibunya, Norhaziah Yusof, 52, yang terus meraung.

“Dia (Mohd Fazli Azri) tak salah. Biar mama yang mati,” raung Norhaziah sebelum rebah dan pengsan.

Norhaziah kembali sedar selepas nenek tertuduh yang dikenali sebagai Siti, 82, mengusap mukanya dengan air.

Siti juga didengari berkata: “Sabar. Dia tak gantung hari ini. Masih ada rayuan. (Mahkamah) Rayuan ada tiga hakim. Kita usaha lagi. Pantang ajal sebelum maut."

Tertuduh dalam keadaan bergari juga meminta Norhaziah untuk mengawal emosi. Semasa ini, suasana mahkamah dipenuhi dengan tangisan keluarga tertuduh.

Norhaziah yang pengsan buat kali kedua kemudiannya memaklumkan hasrat mahu menyuapkan pulut kuning yang dibawanya kepada Mohd Fazli Azri sebaik sahaja sedar.

Dia dipapah oleh seorang anaknya dan Siti Nurhanim untuk berjumpa Mohd Fazli Azri yang telah dibawa ke lokap mahkamah.

Sebelum meninggalkan mahkamah, tertuduh sempat mencium dahi Siti Nurhanim dan mengucapkan terima kasih kasih kepada media dalam nada yang sinis.

Sementara itu, Siti Nurhanim ketika ditemui berkata, dia tidak pernah marah kepada tertuduh yang disifatkan sebagai seorang yang sangat penyayang.

“Saya tidak pernah marah kerana dia tidak berniat untuk bunuh Syafiah Humaira.”

Ditanya sekiranya dia masih sayang kepada tertuduh, Siti Nurhanim berkata: “Sebab dia terlampau sayang pada anak saya, maka saya sayang padanya.”

Gurbachan pula memberitahu, pihaknya telah mendapat arahan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan