Bapa Kanak-Kanak Maut Letupan Mercun Dihukum Penjara Setahun

Diterbitkan: Khamis, 23 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bapa kepada Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam kejadian letupan mercun di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di sini dihukum penjara 12 bulan atas kesalahan memiliki bahan letupan terdiri dari mercun dan bunga api.

Majistret Nor Azizah Yusof memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Ayub Abd Rahman, 29, bermula dari tarikh sabitan, Rabu.

Ayub, seorang buruh, didakwa memiliki mercun dan bunga api di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Seri Nilam, Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, di sini, pada 3 petang 22 Ogos lepas.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu, tertuduh boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika merayu hukuman ringan Ayub berkata beliau hanya bekerja sebagai buruh.

Ketika menjatuhkan hukuman, Nor Azizah berkata mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, katanya kesalahan yang dilakukan tertuduh itu adalah serius kerana melibatkan kematian kepada anak tertuduh dan kecederaan parah terhadap dua mangsa. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Insp V Ravi.

Turut kelihatan berada di mahkamah isteri tertuduh, Kamariah Sufian, 25. Media melaporkan dalam kejadian letupan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, Khairul Arif maut selepas dikatakan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala dua pemuda Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Sementara itu, seorang lagi pemuda yang mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun, dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara setahun jika tidak membayar denda di mahkamah sama.

Khaidir Mohamad, 24, berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, didakwa memiliki pelbagai jenis mercun di tempat jualan ikan Pasar Chabang Tiga, pada 6.45 petang 8 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8 akta yang sama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan