Penjual Kain Didenda RM16,000 Miliki Burung Spesies Terancam

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penjual kain warga Pakistan hari ini didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan memiliki burung spesies terancam tanpa permit Ogos lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membuat keputusan itu selepas Abdul Ghaffar Razaqq, 43, menukar pengakuan kepada bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya.

Abdul Ghaffar didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki dua ekor burung Cenderawasih dan memiliki dua helai bulu burung Kakak Tua di alamat D-4-23, Jalan Metro Perdana 2, Taman Usahawan, di sini pada 3.30 petang, 12 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (a) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap haiwan.

Terdahulu peguam yang mewakili Abdul Ghaffar, Syed Fadzil Syed Shamsudin memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira latar belakang keluarganya.

"Anak guam saya mempunyai pendapatan yang tidak menentu dan perlu menyara tiga orang anak yang masih kecil manakala isterinya pula tidak bekerja.

"Tambahan pula keluarganya di Pakistan mengalami kesusahan disebabkan banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini," katanya.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Shamsudin Osman dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan Abdul Ghaffar adalah serius.

"Kerajaan Malaysia sangat mengambil serius dengan kesalahan ini dan memperkenalkan akta ini bagi membendung perbuatan seumpama ini.

"Sebelum ini negara pernah dicop sebagai negara hab penyeludupan haiwan liar, mohon turut dikenakan hukuman denda tinggi sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan