Anwar Fail Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Selasa, 21 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan tuduhan liwat yang dihadapinya.

Notis rayuan tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan di sini, Selasa.

Peguam Anwar, Karpal Singh, berkata beliau akan menulis kepada Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi bagi memohon tarikh awal pendengaran kes rayuan itu.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu yang menolak permohonan keduanya bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar memfailkan permohonan membatalkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya pada 2 Ogos lalu kerana mendakwa prinsip kesaksamaan serta integriti pihak pendakwaan berikutan dakwaan hubungan intim di antara Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dan pengadu kes Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan kes liwat itu akan disambung semula pada 14 Oktober ini dengan pihak pembelaan menyoal balas saksi pendakwa kedua, doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Razali Ibrahim. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan