Peniaga Barangan Lusuh Didakwa Cuba Bunuh Polis

Diterbitkan: Jumaat, 17 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang peniaga barangan lusuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis pada dua minggu lalu.

T Selvam Kumar, 32, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara merbahaya kereta jenis BMW yang bernombor pendaftaran WJB 3639 dengan melanggar Koperal Razalee Ejani pada 5.35 pagi, 3 September lalu.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di Jalan Jasmin, Bukit Beruntung, dekat sini dan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Kalaiyarasi mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kalaiyarasi menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Hasbi Hasan membenarkan rayuan tertuduh dan menetapkan jaminan pada jumlah RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 2 November depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan