Penganggur Curi Makanan Dipenjara 10 Hari

Diterbitkan: Rabu, 15 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Seorang penganggur yang mengaku salah mencuri 15 jenis makanan dan minuman pada Selasa, diarahkan menjalani hukuman penjara selama 10 hari.

Majistret Mohd Azali Ibrahim yang menjatuhkan hukuman itu pada Rabu, memerintahkan I.M Arokiasamy, 64, menjalani hukuman bermula daripada tarikh dia ditangkap.

Arokiasamy mengaku salah melakukan kesalahan itu pada pukul 3.15 petang Selasa, di Pasaraya The Store yang terletak di Pudu Plaza, Jalan Davis, di sini.

Dia ditangkap selepas pengawal keselamatan pasaraya tersebut, Abdul Main Belin, 31, melihat perbuatannya memasukkan barangan yang dicuri ke dalam beg plastik.

Tertuduh yang telah kematian isteri kemudiannya berjalan keluar tanpa membuat bayaran.

Tertuduh mengakui bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar semua barangan tersebut yang berharga RM99.29.

Dalam usaha meringankan hukuman, tertuduh memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.

"Saya sudah tua dan mempunyai cucu. Saya tidak bekerja dan tinggal bersama anak dan menantu saya.

"Keluarga saya juga tidak tahu bahawa saya ditangkap," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan