Penjara 3 Tahun Balasan Rompak RM150

Diterbitkan: Jumaat, 10 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik kereta tergamak menyamun dompet seorang lelaki, selepas mangsa didakwa tidak menepati janji mahu membayar tambang bas sebanyak RM5.

Mohd Shukor Sharom, 33, ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Khamis berkata, dia tidak mengetahui tindakannya terhadap Zulhelmy Mohd Zubir, 17, adalah satu kesalahan jenayah.

"Saya sudah minta wang, tapi dia enggan bagi. Dia sudah janji mahu bagi. Saya terpaksa berjalan kaki dari Selayang," tambahnya yang telah keluar masuk penjara sebanyak enam kali atas kesalahan dadah.

Tertuduh yang memberi akujanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa terlebih dahulu mengaku salah atas tuduhan menyamun dompet Zulhelmy yang mengandungi wang tunai RM150.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 malam, 6 September lalu di lorong bersebelahan Hotel Vistana, Jalan Lumut, di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Nompat Prakdit mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikepit di bahagian kepala oleh tertuduh bertindak mengejar tertuduh yang melarikan diri sehingga ke Jalan Chow Kit, di sini sebelum berjaya ditangkap.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh tangkap dan menasihatkan tertuduh supaya berubah.

"Kamu mempunyai kemahiran membaiki kereta. Sepatutnya kamu gunakan kemahiran tersebut untuk mencari kerja," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan