Kes Mirza dan Bekas Pegawai Pempena Disebut Semula 18 Oktober Ini

Diterbitkan: Isnin, 6 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan bekas Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pelancongan Malaysia Berhad (PEMPANA) Mohammad Rosly Md Selamat terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat itu berjumlah RM888,000 tiga tahun lepas.

Hakim Azizah Mahamod menetapkan tarikh itu selepas peguam B.Muralidharan, yang mewakili Mirza, dan peguam Rejender Singh yang mewakili Mohammad Rosly, memohon kepada mahkamah untuk mengemukakan reprentasi berhubung pertuduhan itu kepada Pejabat Peguam Negara.

Pada 16 Ogos lepas, Mirza, 53, dan Mohammad Rosly, 56, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meluluskan pembayaran wang tersebut ke akaun LCL Interior Dubai pada 27 Februari 2007 bagi projek pembinaan Restoran Malaysia Dubai sedangkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi projek itu, tidak dipatuhi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PEMPENA di Tingkat 3, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 27 Februari 2007.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rebecca Matham.

Di Mahkamah Sesyen yang berasingan , Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan 2 Dis ini untuk sebutan semula kes yang turut melibatkan Mohammad Rosly dan Ketua Pengawal Kewangan syarikat Pempena Sdn Bhd Lim Khing Tai bagi pertuduhan pecah amanah melibatkan RM169,770, empat tahun lalu.

Pada 16 Ogos lepas juga, Mohammad Rosly dan Lim dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini dan mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah melibatkan RM169,770.

Mohammad Rosly didakwa melakukan kesalahan iaitu dengan curangnya menggunakan wang yang diamanahkan kepadanya untuk membayar kepada Ummi Hafilda Ali melalui empat keping cek Bumiputra Commerce Berhad.

Tertuduh didakwa menggunakan wang itu sebagai bayaran penajaan bagi penganjuran Konsert Amr Diab walaupun mengetahui pembayaran itu masih belum mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Pempena Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena Sdn Bhd, Tingkat 29, Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 15 Ogos 2006.

Lim yang diwakili peguam Cheow Wee juga didakwa dengan pertuduhan yang sama. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Anas Mahadzir. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan