Wanita Lepas Tanpa Bebas Tuduhan Subahat Sebabkan Kematian Suami

Diterbitkan: Sabtu, 4 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang ibu kepada dua anak dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan bersubahat menyebabkan kematian suaminya selepas abangnya mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ekoran perbuatan mangsa yang sering mendera adiknya.

Jubaitha Theen Mohamed, 35, menangis teresak-esak dan memeluk abangnya, Mohamed Ismail, 37, sebaik sahaja mendengar keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah pada Jumaat.

Abdul Alim juga memerintahkan supaya Mohamed Ismail yang merupakan tertuduh kedua untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 18 Julai 2007 bagi kesalahan tersebut.

Peguam M.V Stanislaus yang mewakili tertuduh memaklumkan, kejadian berlaku selepas seorang abang mahu membela nasib adik kandungnya yang sering didera oleh mangsa, seorang penyelia kilang, Hamsah Hussein, 35, untuk jangka masa yang lama.

“Jubaitha ada memberitahu abangnya bahawa dia sering dipukul dan dilayan dengan teruk oleh mangsa. Pada hari kejadian, Jubaitha menghubungi abangnya selepas bertengkar dengan mangsa.

“Tidak ada mana-mana abang yang akan meletakkan parang pada adik ipar sendiri jika perkara seperti itu tidak pernah berlaku,” kata Stanislaus yang merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan.

Fakta kes menyatakan, kejadian berlaku semasa mangsa membawa isteri dan anaknya pulang ke rumah bapanya yang terletak di Dengkil, dekat sini.

Pasangan itu bagaimanapun bertengkar sehingga menyebabkan Jubaitha menghubungi Mohamed Ismail untuk datang menjemputnya dengan segera.

Setibanya Mohamed Ismail di situ, dia telah menarik leher baju mangsa dan menumbuk mangsa sehingga berlaku pergelutan yang mana mangsa akhirnya dilihat jatuh di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Keterangan ibu mangsa pula menyatakan, dia melihat Mohamed Ismail memegang sesuatu sambil sebelah lagi tangannya menarik Jubaitha untuk beredar daripada tempat kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital dan bedah siasat menunjukkan terdapat tujuh kesan tikaman iaitu disekitar bahu kanan, lengan, dagu, rusuk kiri dan tengah dada.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini berhadapan dengan hukuman mati mandatori atas tuduhan membunuh sebelum pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan, iaitu kerana menyebabkan kematian mangsa kepada mereka.

Pertuduhan baru itu dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa menyebabkan kematian mangsa pada antara pukul 11 dan 11.30 malam, 23 April 2007 di bawah garaj berbumbung hadapan rumah nombor 17, Jalan 6, Taman Air Hitam Permai, Kampung Datuk Bakar Baginda, Dengkil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Jubaitha sebelum ini pernah membuat permohonan supaya dibebaskan dengan jaminan atas alasan perlu menjaga anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin menolak permohonan itu selepas berpuas hati bahawa kebajikan kanak-kanak tersebut terpelihara. Namun begitu, beliau membenarkan perbicaraan kes itu diberi keutamaan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan